MELAKA: Seorang pembantu kedai runcit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian dua wanita tahun lepas.

Yong Sang Kein, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Dia dituduh memandu sebuah kereta di Jalan Pulau Gadong di dalam daerah Melaka Tengah pada 17 Julai 2023 sekitar pukul 8.30 pagi di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kemalangan dengan seorang penunggang motosikal sehingga menyebabkan kematian Iman Nur Azrin Noriman,18, dan Nurul Rahimah Abdull Samad, 32.

Pembantu kedai itu didakwa di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 1999 dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih daripada RM100,000.

Dia juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan sesuatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan.

Majistret Khairunnisak turut memerintahkan Yong diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin di samping mengarahkan lesen Kelas D miliknya digantung sehingga kes selesai, dan menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri manakala Yong diwakili Siti Nur Alia Safri.

-- BERNAMA