ALOR SETAR: Seorang lelaki melecur di bahagian bahu dan belakang badan ketika cuba memadam kebakaran di sebuah gudang alat ganti kenderaan milik ahli keluarganya di Kawasan Perusahaan Mergong, dekat sini, hari ini.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata mangsa berusia 59 tahun itu telah dirawat oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Katanya enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamatan (BBP) Jalan Raja dan Alor Setar telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.16 petang.

Menurutnya, operasi tersebut melibatkan keseluruhan120 anggota termasuk dibantu sembilan jentera Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

"Kita menghadapi sedikit kesukaran untuk ke lokasi kerana ketika itu waktu puncak orang ramai pulang dari kerja. Bagaimanapun, setakat pukul 8 malam tadi, api berjaya dikawal sepenuhnya dan pada peringkat awal ini peratusan kebakaran adalah sebanyak 70 peratus," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ahmad Aminuddin berkata proses pemadaman kebakaran juga mengalami kesukaran dan mengambil masa hampir tiga jam berikutan bomba mengambil langkah berjaga-jaga selepas dimaklumkan oleh pemilik premis bahawa selain alat ganti terdapat juga beberapa tong cat yang berbahaya.

"Kita buat pemadaman dari bahagian luar kerana bahagian di tingkat dua dan tiga kilang ada yang diperbuat daripada kayu. Jadi, tidak boleh masuk ke dalam lagi, kita tidak mahu ambil risiko pada anggota kerana takut ada rekahan atau apa-apa yang lain.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan tetapi saksi awal memaklumkan api mula di bahagian tengah kilang,"katanya.

-- BERNAMA