KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dengan kejadian buli jalan raya sehingga menyebabkan kecederaan di Meru, Klang, Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga seorang lelaki berusia 49 tahun pada 10.28 malam, hari yang sama.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 9.45 malam semasa mangsa memandu kereta untuk pulang ke rumah bersama keluarga.

"Mangsa secara tiba-tiba didatangi sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki secara melulu dan terus menghimpit kereta mangsa.

"Suspek juga bertindak menghentikan keretanya di hadapan kereta mangsa sebelum datang ke arah mangsa dan mengetuk cermin tingkap kereta mangsa.

"Kemudian suspek cuba menarik kunci kereta semasa mangsa membuka pintu dan apabila mangsa telah keluar dari kereta berlaku pertengkaran mulut dengan suspek," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, suspek telah masuk semula ke dalam keretanya dan cuba melanggar mangsa sebanyak dua kali.

"Kali pertama mangsa berjaya mengelak namun kali kedua mangsa telah dilanggar sehingga terjatuh menyebabkan kaki kanan mangsa digilis tayar kereta suspek.

"Selepas kejadian itu, suspek terus memecut melarikan diri manakala mangsa mengalami kecederaan keretakan kecil di kaki kanan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam," ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Iqbal berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai penjual komponen kenderaan.

Katanya, pihak polis juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau namun ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah jenis Benzo.

"Reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Shah Alam pada Khamis.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah ASP Md Anuar Bin Md Amilah  ditalian 019-2255597," katanya.