SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas lebih 6,000 barangan disyaki menggunakan cap dagangan secara tidak sah bernilai RM37,000 dalam serbuan di dua lokasi berbeza, semalam.

Pengarahnya Mohd Zuhari Mat Radey berkata serbuan menerusi operasi GEMPUR itu dilakukan serentak sekitar 12 tengah hari melibatkan 30 anggota penguat kuasa masing-masing dari KPDN Shah Alam dan Kuala Kubu Bharu serta wakil pemilik cap dagang jenama terlibat.

Beliau berkata dalam serbuan pertama terhadap sebuah premis pasaraya tumpuan di Klang, pasukan KPDN Shah Alam merampas barangan aksesori wanita seperti gelang, rantai, subang, pengikat rambut dan seumpamanya.

"Sejumlah 6,059 barangan disita hasil serbuan terhadap enam lot kedai di pasara raya itu dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM20,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan kedua di Serendah oleh KPDN Kuala Kubu Bharu, Mohd Zuhari berkata pihaknya menyita 500 barangan antaranya beg tangan wanita yang menggunakan cap dagang tidak sah dengan nilai RM17,000 selepas menyerbu sebuah rumah kediaman dipercayai wujud jualan secara dalam talian melalui platform TikTok.

Mohd Zuhari berkata kesemua kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan berharap tindakan penguatkuasaan itu dapat memberi isyarat kepada peniaga di lokaliti dalam Selangor untuk lebih berwaspada dan sedia menjalankan perniagaan secara beretika sama ada perniagaan secara premis terbuka, tertutup mahupun platform dalam talian.

-- BERNAMA