Seorang lelaki ditahan reman seminggu mulai hari ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang ibu tunggal di Taman Dato Lew Yap Sip, Ampang di sini, semalam.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki itu dikeluarkan oleh Majistret Suhaima Mohd Noor di Mahkamah Majistret Ipoh di sini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Lelaki berumur 34 tahun itu, yang merupakan peniaga di Pasar Besar Kampung Rapat, ditahan di sini kira-kira 12 tengah hari semalam.

Wanita berusia 53 tahun itu, yang bekerja sebagai pembantu peniaga pasar, ditemui mati oleh anak bongsunya dengan beberapa kesan tikaman pada tubuhnya di bilik tidur tingkat atas kediamannya awal pagi semalam.

Hasil siasatan di tempat rumah teres bertingkat kos rendah itu mendapati adanya kesan pecah di bahagian pintu rumah dan pintu bilik tidur mangsa selain kesan terbakar pada langsir dan kerusi dalam bilik tidurnya.

-- BERNAMA