Peguam Muhamad Yumni Rafie yang mewakili N. Deanesh, 53, berkata perintah terbabit dikeluarkan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim ketika sebutan kes berkenaan hari ini.
Beliau berkata mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan agar tertuduh menjalani pemeriksaan dan penilaian mental selama sebulan serta menetapkan 18 April ini untuk keputusan.
"Pihak pembelaan juga telah menyerahkan hujahan bertulis kepada mahkamah dan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Tatacara Jenayah," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Lelaki itu didakwa menyebabkan kematian ibunya Catherine Daniel, 77, dalam kejadian di sebuah rumah di Taman OUG, Brickfields di sini antara 21 hingga 26 Mac 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan dikenakan maksimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
