PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukan lebih RM2.9 juta dalam program Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) bagi menawarkan tajaan kepada 171 orang pelajar yang layak pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, insentif yang diberikan adalah sebagai galakan dan penghargaan kepada para huffaz untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang, di dalam dan luar negara.

“Para penerima SPH pada tahun ini adalah terdiri daripada tiga orang pelajar Sarjana, 130 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam negara dan 38 pelajar ijazah Sarjana Muda di luar negara.

“Kerajaan sentiasa peka serta meneliti semua aspek dalam usaha memartabatkan bidang pengajian tahfiz di negara ini, sama ada dari aspek kualiti, keberhasilan, prospek masa depan, tadbir urus dan kewangan.

“Kerajaan juga mengharapkan agar golongan huffaz ini dapat memberi sumbangan kepada negara dan mengekalkan kebolehan menghafal al-Quran serta menjadi hafiz profesional yang memartabatkan al-Quran,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Pelajar Baharu Tajaan SPH Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Auditorium, Kompleks Islam di sini pada Selasa.

Jelas beliau, sehingga kini seramai 1,400 orang penerima telah mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan sejak SPH diperkenalkan pada 2012.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berharap para pelajar yang menerima tajaan perlu terus memperkasa diri dengan kemahiran berkomunikasi, bahasa Arab dan Inggeris, selain kemahiran pengurusan strategik
untuk menjadi nilai tambah.

Dalam masa sama, beliau menambah kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 Bilion untuk tujuan pengurusan hal ehwal Islam pada tahun ini.

Justeru, beliau berharap Belanjawan 2024 yang dibentangkan di Parlimen nanti, akan terus memberikan keutamaan kepada penambahbaikan kepada institusi Islam dan pendidikan Islam.

Tegasnya, Kerajaan Perpaduan dari masa ke masa berusaha untuk memperkasakan institusi pendidikan Islam yang berada di bawah Jatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) merangkumi Sekolah Agama, institusi tahfiz dan pondok.