Lebih 3,700 siswazah perubatan, pergigian dan farmasi telah diberikan penempatan di hospital-hospital kerajaan sehingga September lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 6,587 siswazah yang mendaftar dan dipanggil temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam merangkumi 4,457 siswazah perubatan, 880 pergigian dan 1,250 farmasi.

"Daripada jumlah itu, 57.4 peratus graduan diberi penempatan dan bakinya tidak boleh diberi penempatan kerana tiada jawatan mencukupi," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Subramaniam menjawab persoalan beberapa anggota Parlimen mengenai lebihan doktor yang mengakibatkan terdapat ramai siswazah perubatan belum diberi penempatan untuk dilantik berkhidmat di sektor kerajaan.

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) yang mencelah semasa penggulungan itu bertanya mengenai usaha kerajaan menangani masalah penempatan siswazah perubatan terutama apabila 11 universiti awam dan kolej perubatan yang bakal mengeluarkan sekurang-kurangnya 5,000 lebihan doktor siswazah.

Dr Subramaniam berkata, antara sebab utama kelewatan siswazah diberi penempatan ialah peningkatan ketara bilangan lepasan siswazah perubatan dari dalam dan luar negara yang melebihi daripada jawatan sedia ada di kementerian.

"Di negara ini, terdapat 33 institusi pengajian tinggi dan swasta (IPTA/ IPTS) dalam bidang perubatan, iaitu 11 IPTA dan 22 IPTS yang boleh dikawal kementerian dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi di bawahnya.

"Tetapi kementerian tidak dapat mengawal mereka yang pergi mendapat latihan di luar negara," katanya.

Menurutnya, inisiatif kerajaan mengatasi kekangan itu termasuk menempatkan siswazah di hospital swasta mendapatkan latihan yang setaraf dengan hospital kerajaan selain mengurangkan pengiktirafan kepada kolej dan universiti perubatan yang banyak dibuka pada masa ini.

"Kita juga menggalakkan agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) jangan menghantar doktor (pelajar perubatan) ke luar negara dan JPA menentukan kaedah latihan dalam negara," katanya.

-- BERNAMA