PUTRAJAYA: Pasar raya dan pasar raya besar yang terhad kepada makanan dan minuman serta keperluan asas, kedai farmasi atau penjagaan diri, kedai serbaneka, kedai runcit dan restoran di kompleks beli-belah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus pekerja ketika pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang bermula esok.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi premis berkenaan termasuklah mengehadkan jumlah pelanggan dalam satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan seorang pelanggan bagi setiap empat meter persegi.

"Turut dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus pekerja ialah sektor e-dagang bagi semua kategori produk serta pemborongan dan pengedaran bagi kategori produk perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau bagi tujuh sektor iaitu restoran, dobi (termasuk layan diri), stesen minyak, kedai penjagaan haiwan atau makanan haiwan, kedai cermin mata dan barang optik, kedai perkakasan serta bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti pula dibenarkan kapasiti 60 peratus pekerja sahaja.

Beliau berkata sekurang-kurangnya seorang pekerja diperlukan untuk memastikan kawalan keluar masuk pelanggan bagi dobi layan diri.

SOP sektor perdagangan pengedaran Perintah Kawalan Pergerakan yang dikemas kini dan soalan lazim (FAQ) mengenainya boleh didapati di laman web https://www.kpdnhep.gov.my

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03-88826322/6587 atau melalui e-mel kepada roa@kpdnhep.gov.my.

-- BERNAMA