PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2024 berjalan lancar dengan lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya di sini hari ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata persembahan teres grafik manusia oleh 2,000 pelajar sekolah menengah dari Kuala Lumpur dan Selangor menjadi tarikan utama sambutan itu.

Fahmi berkata persembahan berkenaan mendapat pujian barisan Jemaah Menteri dan pengunjung yang hadir.

"Mereka amat bertenaga dan ini mengingatkan kita tentang rasa cinta kepada negara. Saya rasa saya mesti tabik hormat kepada mereka dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pun berjumpa dengan mereka dan mengucapkan terima kasih," katanya kepada pemberita selepas acara sambutan itu.

Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan Hari Kebangsaan 2024 disemarakkan dengan perbarisan dan perarakan dijayakan 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 udara dan 112 haiwan dalam perkhidmatan.