IPOH: Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Dataran Bandaraya Ipoh seawal jam 6 petang bagi menyaksikan sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2022, di sini, malam tadi.

Kemeriahan luar biasa itu dirasai segenap lapisan masyarakat selepas dua tahun disambut secara sederhana susulan kekangan pandemik COVID-19.



Pelbagai program menarik antaranya persembahan pelbagai tarian termasuk tarian Sewang Orang Asli, deklamasi puisi oleh Pyan Habib dan sketsa, persembahan muzik saksofon serta kehadiran artis undangan Hael Husaini.





BACA KANDUNGAN EKSKLUSIF ASTRO AWANI SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2022, DI SINI

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama-sama isteri Datin Seri Aezer Zubin turut hadir meraikannya, di samping kehadiran barisan Exco Perak.

Kemuncak majlis bermula pada jam 11 malam, dengan disusuli ucapan perasmian yang disampaikan oleh Saarani.


Dalam ucapannya, Saarani mengajak masyarakat untuk sama-sama menghayati tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

Ujarnya, ia mengambil semangat Keluarga Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Katanya lagi, tema ini mengajak semua untuk memperteguh semangat solidariti dalam mengharungi cabaran-cabaran mendatang yang tentunya tidak mudah.

Akhir ucapan, beliau seterusnya menyerahkan Jalur Gemilang kepada penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh untuk dikibarkan.


Semasa menghampiri detik jam 12 malam, kiraan ‘countdown’ dilakukan sebelum diteruskan dengan laungan "Merdeka".

Kemudian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang dinyanyikan beramai-ramai diikuti dengan pertunjukan bunga api.