LIMA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Lima, Peru yang juga merupakan lawatan sulung beliau ke rantau Amerika Latin sejak menyandang jawatan itu pada 2022.

Lawatan yang akan bermula 13 November adalah seiring Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang ke-31.

Beliau akan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Si.

Duta Besar Malaysia ke Peru, Ahmad Irham Ikmal Hisham berkata, dalam lawatan rasmi itu, Anwar akan bertemu dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra di Istana Kerajaan Peru bagi membincangkan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Peru.

“Perkara-perkara yang akan dibincangkan termasuklah status hubungan dua hala, bidang perdagangan dan pelaburan, serta meneroka kerjasama baharu dalam industri halal, pembangunan infrastruktur, pendidikan dan budaya, bagi mengukuhkan hubungan persahabatan di antara kedua negara.

“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala, khususnya ASEAN dan APEC, serta dijangka akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang-bidang gastronomi dan halal,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di kemuncak pertemuan tersebut, Perdana Menteri dijadual akan dianugerahkan pingat tertinggi Republik Peru, iaitu El Sol del Peru sebagai satu penghormatan tertinggi kepada Ketua Kerajaan.

Selain itu, Anwar turut dijadual mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru bagi mempromosikan peluang perniagaan, khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan industri digital. 

Malah, ujar beliau wakil-wakil syarikat ternama dunia seperti Tik Tok dan Google turut dijadual akan menemui Perdana Menteri.

“Penglibatan Perdana Menteri di AELM termasuk menghadiri Sidang Kemuncak CEO APEC pada 14 November, di mana Perdana Menteri adalah salah seorang ahli panel dalam sesi bertajuk “Opportunities and Challenges in the AI Revolution”. 

“Pada 15 November, Perdana Menteri akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

“Semasa Sesi Pemukiman AELM pada 16 November pula, Perdana Menteri akan menyampaikan intervensi Malaysia.

“Di sela-sela AELM, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Ekonomi APEC yang lain.  Ini termasuklah dari Jepun dan New Zealand,” menurut beliau.

Menurut  Ahmad Irham, Anwar juga akan berkongsi keutamaan-keutamaan Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan keterangkuman, pembangunan mampan, dan pengukuhan kerjasama untuk manfaat semua.

Selain itu, Perdana Menteri juga akan konsisten mengetengahkan isu-isu Global Selatan dan kepentingan integrasi ekonomi dalam mempertingkatkan pelaburan berimpak tinggi dan perdagangan lestari.

Jumlah dagangan di antara Malaysia dan Peru dari Januari sehingga Julai 2024 dicatatkan sebanyak RM1.16 billion yang merupakan peningkatan sebanyak 36.3 peratus berbanding RM847.7 juta pada tempoh yang sama pada tahun 2023.