KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi bermula esok hingga 14 Disember depan.

Menurut Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini, lawatan itu mempamerkan komitmen berterusan Malaysia untuk mengeratkan lagi hubungan dan mengukuhkan kerjasama dengan Arab Saudi dalam pelbagai sektor untuk kepentingan kedua-dua negara.

Jelasnya, semasa lawatan itu, Mohamad akan mempengerusikan bersama mesyuarat pertama Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia (SMCC) dengan rakan sejawat, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud.

"SMCC merupakan mekanisme dua hala yang ditubuhkan untuk menggalakkan kerjasama dan bertindak sebagai badan penyelaras antara kedua-dua negara dalam lapan bidang utama iaitu politik, keselamatan, pertahanan, perdagangan dan pelaburan, tenaga dan alam sekitar, hal ehwal Islam, pendidikan dan sosio-budaya.

"Kedua-dua menteri juga dijadualkan untuk menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU), iaitu mengenai Kerjasama dalam Bidang Pembangunan Sosial; dan Pengecualian Visa untuk Lawatan Jangka Pendek kepada Pemegang Pasport Diplomatik dan Rasmi atau Khas," kata Kementerian Luar.

Kementerian itu menambah Mohamad juga dijadual mengadakan perbincangan peringkat tinggi dengan Menteri-Menteri Arab Saudi yang lain, termasuk Menteri Dalam Negeri, Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif bin Abdulaziz,  dan Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfig Fazwan Al-Rabiah.

Ia bagi membincangkan perkara yang saling berkepentingan dan meneroka bidang kerjasama baharu, dengan penekanan khusus terhadap sektor utama seperti keselamatan, visa, umrah dan haji serta kesalinghubungan.

Dari Januari hingga Ogos 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Arab Saudi bernilai RM30.09 bilion (AS$6.43 bilion).

Pada 2023, Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Barat, dengan jumlah dagangan sebanyak RM50.52 bilion (AS$11.06 bilion).

Malaysia ialah rakan dagang terbesar Arab Saudi dalam kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ketujuh terbesar di peringkat global.