RIYADH: Malaysia dan Arab Saudi terus memperkukuh hubungan dua hala dengan pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) pada Selasa.

Kedua-dua MoU ditandatangani oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan di ibu pejabat Kementerian Luar Arab Saudi di sini.

MoU pertama mengenai Pengecualian Visa untuk Lawatan Jangka Pendek kepada Pemegang Pasport Diplomatik dan Rasmi atau Khas telah ditandatangani serta ditukar antara Mohamad dan rakan sejawatnya, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud.

MoU itu adalah langkah penting ke arah hubungan dua hala yang lebih erat antara Malaysia dan Arab Saudi yang wujud sejak terjalinnya hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 1957.

Ia juga adalah satu pengiktirafan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia terutama dalam memudahkan urusan perjalanan dan meningkatkan penglibatan langsung anggota pentadbiran serta para pegawai kedua-dua negara. 

MOU kedua pula berkaitan Bidang Pembangunan Sosial yang ditandatangani serta ditukar antara Mohamad dan Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial bagi Tenaga Buruh Arab Saudi Dr Abdulla Nasser Abuthnain. 

Antara lain, MoU itu bagi memperkukuh kerjasama antara institusi dan organisasi di kedua-dua negara dalam bidang pembangunan sosial dengan menyokong serta membangunkan dasar dan program berkaitan keluarga, pemerkasaan wanita dan perlindungan kanak-kanak.

Selain menggalakkan pertukaran pengalaman dan maklumat saintifik antara kedua-dua negara, MoU itu juga bertujuan mewujudkan peluang bagi perkongsian sumber pakar serta profesional.

Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Arab Saudi dalam kalangan negara anggota ASEAN dan yang ketujuh terbesar di peringkat global.

Pada 2023, Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah dengan jumlah dagangan bernilai RM50.52 bilion (US$11.06 bilion).

Bagi tempoh lapan bulan pertama 2024, jumlah perdagangan dua hala bernilai RM30.09 bilion (US$6.43 bilion).

-- BERNAMA