JAIPk dalam kenyataan semalam menjelaskan video itu berkaitan lawatan yang diadakan secara tertutup dan dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Unity Network (UNITY) dengan kerjasama JAIPk melibatkan 32 peserta terpilih dari seluruh Perak.
Menurut JAIPk, kesemua peserta terlibat sedang mengikuti lima kursus dakwah di bawah jabatan itu yang bertujuan meningkatkan kefahaman mereka mengenai hal ehwal aktiviti dakwah, manakala lawatan berkenaan adalah antara modul dalam kursus tersebut.
"Lawatan itu adalah sebahagian daripada pengisian kursus untuk melatih dan meningkatkan keyakinan peserta dalam menyampaikan dakwah terutamanya bagi membetulkan banyak salah faham mengenai Islam termasuk kebencian akibat sentimen Islamofobia.
"Bagaimanapun, lawatan tersebut bertukar menjadi polemik apabila sebuah akhbar menyiarkan klip video kenyataan seorang peserta wanita yang telah menimbulkan salah faham hingga mengundang perdebatan hangat di media sosial," menurut kenyataan itu.
JAIPk menjelaskan wanita tersebut bukan pegawai atau kakitangan jabatan itu seperti yang didakwa, sebaliknya merupakan antara peserta yang mengikuti kursus berkenaan secara sukarela.
Menurut JAIPk, jabatan itu memohon maaf terutama kepada umat Islam atas kontroversi yang timbul susulan penganjuran kursus serta kenyataan peserta terbabit hingga menimbulkan salah faham selain menjejaskan nama baik kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama.
"Sebagai antara jabatan yang diberi amanah mengurus hal ehwal dan kepentingan agama Islam, JAIPk tidak sesekali mengendurkan pegangan terhadap prinsip 'maqasid syariah' yang selama ini mendasari perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Perak," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, JAIPk juga mengambil maklum mengenai arahan dan beberapa ketetapan yang dibuat kerajaan negeri setelah mendapat titah nasihat oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah supaya isu tersebut ditangani segera bagi mengelakkan ia terus menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
"Bagi mencegah kontroversi seumpamanya berulang, JAIPk akan mengkaji semula modul dan kaedah pelaksanaan kursus berkenaan selain menetapkan garis panduan khusus kepada peserta yang menyertai program dakwah yang dianjurkan jabatan ini pada masa hadapan," menurut kenyataan itu.
Menurut JAIPk jabatan itu juga akan berbincang dengan pihak berkepentingan serta pihak berkuasa agama Islam yang lain, termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk memikirkan kaedah atau pendekatan kursus dakwah yang lebih sesuai.
Terdahulu, media melaporkan isu berkenaan tular menerusi klip video berdurasi 6.35 minit dipercayai daripada media berbahasa Tamil yang memaparkan kunjungan delegasi dari JAIPk ke Kuil Sri Maha Mariamman Kampung Kasipillay, Kuala Lumpur.
Sementara itu, UNITY dalam kenyataan berasingan memaklumkan program itu adalah Lawatan Harmoni Terbimbing yang dikendalikan pihaknya untuk guru agama dakwah JAIPk, yang merupakan inisiatif bagi memupuk kesedaran, kefahaman dan perpaduan antara pelbagai agama dalam negara.
UNITY memaklumkan mereka telah menggunakan garis panduan yang ditetapkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam membimbing peserta terbabit.
Menurut UNITY, dengan menghormati adat dan pantang larang masing-masing program itu membantu memperkukuhkan hubungan antara komuniti dan memastikan keamanan serta keselarasan hidup bersama di Malaysia.
"UNITY dengan rendah diri ingin memohon maaf jika ada terdapat salah tanggapan yang berlaku di atas inisiatif ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA