GERIK: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melalui Pejabat Agama Islam Daerah Gerik memulakan Ops Plastik Hitam bagi memantau orang Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan bermula Rabu.

Ketua Unit Penguat kuasa Agama Daerah Gerik, Atikullah Habibullah berkata, operasi yang dijalankan bersama lapan anggota penguat kuasa agama itu dilaksanakan bagi memberi amaran kepada premis makan sekitar kawasan Gerik yang beroperasi lebih awal supaya tidak menjual makanan kepada orang Islam.

Menurutnya, selain itu pemantauan juga dibuat di kawasan-kawasan panas di daerah Gerik yang sering mendapat aduan berkenaan pelanggaran kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan iaitu tidak berpuasa.

"Setakat ini tiada tangkapan dibuat. Peringkat permulaan ini unit penguat kuasa agama hanya memberi nasihat dan amaran keras.

"Tetapi sekiranya masih berulang, pihak kami tidak teragak-agak mengenakan tindakan undang-undang kepada mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Atikullah berkata, mereka boleh dikenakan tindakan kerana menjual makanan pada siang hari kepada orang Islam atau makan secara terang-terangan di tempat awam pada siang hari di bawah Seksyen 24, Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992.

Menurutnya, hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara melebihi enam bulan dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Jelasnya, selain itu dalam pemantauan tersebut, pihak penguat kuasa juga meminta peniaga menurunkan plastik-plastik hitam yang digunakan dan gantikan kepada plastik biasa bagi mengelak tanggapan negatif seolah-olah menyantuni mereka yang tidak berpuasa.

INFO

Kesalahan

Seksyen 24, Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992:-

Seseorang yang pada siang hari di dalam bulan Ramadan:

a) menjual Apa-apa makanan, minuman atau tembakau kepada seseorang yang beragama Islam untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta; atau

b) dengan terang-terang atau di tempat awam didapati sedang makan, minum atau menghisap tembakau.

Hukuman
Denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. - Sinar Harian