KUALA LUMPUR: Jika Malaysia memulakan rundingan dengan China mengenai pertikaian perairan di Laut China Selatan, maka negara berpaling daripada daripada dasar yang menyatakan China bukan pihak terlibat dalam tuntutan di perairan berkenaan. 


Ringkasan AI
  • Dasar Malaysia: Malaysia menolak tuntutan China di Laut China Selatan dan tidak menganggap China sebagai pihak yang terlibat dalam pertikaian tersebut. Kesan Rundingan: Memulakan rundingan dengan China boleh memperakui hak China dan membuka ruang untuk tuntutan lebih banyak kawasan yang dipertikaikan. Peningkatan Ketegangan: China telah meningkatkan keberadaan tentera dan pengawal pantai di Laut China Selatan, menyebabkan ketegangan dengan negara-negara lain seperti Filipina.


Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM), Dr. Lam Choong Wah berkata, langkah berkenaan akan memperakui hak China dan membuka ruang kepada republik itu untuk menuntut lebih banyak kawasan yang dipertikaikan. 

“Kita lihat Perdana Menteri ada menyatakan bahawa Malaysia terbuka untuk mengadakan rundingan dengan China, tetapi Kementerian Luar Negeri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan susulan. 

“Ini adalah kerana Malaysia menolak tuntutan China. Ada baik dan buruknya apabila kita mulakan rundingan dengan China. Kebaikannya adalah pada dasarnya kita mahu menyelesaikan masalah secara aman dan damai melalui perundingan. 

“Keburukannya pula ialah apabila kita memperakui bahawa China ada bahagian dalam pertikaian di Laut China Selatan, maka kita juga memperakui bahawa China ada hak menuntut sehingga ke perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) kita. Ini perkara yang kita tidak boleh terima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Laut China Selatan: Berunding dengan China bermakna Malaysia berpaling dari dasar sedia ada - Pakar
 

Jelas Choong Wah, pendirian semasa Malaysia ialah China bukan sebahagian daripada pihak yang menuntut kedaulatan di perairan Laut China Selatan yang dipertikaikan. 

Negara-negara yang terlibat dalam pertikaian ini hanyalah Malaysia, Vietnam, Filipina dan Brunei yang mempunyai pertindihan EEZ serta pentas benua.

“Malaysia memperakui wujudnya pertikaian dengan Vietnam, Filipina dan Brunei. Kita boleh adakan perundingan dengan negara-negara ini, tetapi bukan dengan China,” jelasnya.

China dilaporkan meningkatkan keberadaan pasukan tentera dan pengawal pantai di Laut China Selatan sejak awal tahun ini.

Ia disusuli dengan beberapa insiden pertembungan pengawal pantai China dan Filipina yang menjadikan situasi di perairan dipertikaikan itu tegang, dengan yang terkini dilaporkan pada 31 Ogos lalu.

Kapal tentera China dilaporkan berlegar di perairan Sarawak pada Sabtu lalu.