Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu yang mengakibatkan dua anggota pengaman UNIFIL cedera.
Tambah kenyataan itu, serangan ke atas UNIFIL merupakan serangan terhadap Majlis Keselamatan PBB dan ke atas Piagam PBB.
"Serangan berterusan yang mensasarkan kakitangan PBB dan orang awam yang tidak bersalah adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berat.
"Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan serangan berterusan oleh Israel dan mendesak rejim Zionis itu untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB termasuk resolusi 1701 (2006)," jelas kenyataan itu.
Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 yang ditempatkan di Tibnin dan Marakah dilaporkan selamat.
Malaysia juga mengutuk serangan udara oleh rejim Zionis Israel pada hari yang sama ke atas kawasan perumahan berpenduduk padat di Ras el-Nabaa dan al-Nuweiri di tengah Beirut, yang mengorbankan 22 orang dan mencederakan puluhan yang lain.