Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri ketika ini sedang menyediakan laporan interim berdasarkan dapatan kajian itu yang proses penyediaannya mengambil tempoh setahun.
Menurutnya, kajian empirikal dilakukan di Ottawa dan Toronto, Kanada serta Melbourne dan Canberra, Australia, masing-masing pada 6 hingga 9 Mei dan 3 hingga 6 Jun lalu.
"Pasukan itu sudah memperoleh maklumat dan data komprehensif serta menyeluruh, termasuk perkara teknikal, spesifik dan generik yang memberi penekanan kepada 'big picture' pelaksanaan pengasingan peranan AG dan Pendakwa Raya di negara ini.
"Negara terakhir akan dikaji oleh Pasukan Petugas Khas Komparatif ialah United Kingdom (UK) yang juga penutup kepada kajian empirikal, akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian kepada soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai status terkini usaha pemisahan peranan AG dan Pendakwa Raya serta garis masa untuk melaksanakan reformasi institusi berkenaan.
Sementara itu, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, sesi perbincangan meja bulat juga sudah diadakan dengan dihadiri pakar akademik serta pengamal perundangan selain ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Australia, Kanada dan Malaysia.
Selain itu, katanya, kajian saintifik berdasarkan perspektif sains kemasyarakatan pandangan umum ke atas pengasingan peranan AG dan Pendakwa Raya juga selesai dijalankan bagi tempoh enam bulan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM).
"Kajian ini membabitkan pihak berkepentingan, termasuk masyarakat umum, agensi penguatkuasaan, pakar berkaitan dan kerajaan negeri.
"Ia merangkumi pengumpulan dan analisis data dan maklumat daripada pihak berkepentingan melalui pelbagai kaedah penyelidikan seperti perbincangan kumpulan fokus," katanya.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Teresa, Kulasegaran berkata, Pasukan Petugas Khas Komparatif juga sedang meneliti model terbaik dan sesuai bagi pemisahan peranan AG dan Pendakwa Raya memandangkan negara lain memiliki model berbeza.
Katanya, AG di Kanada dan Australia secara am tidak boleh memberi arahan kepada Pendakwa Raya, namun beliau dalam kes tertentu seperti membabitkan keselamatan, boleh memberikan arahan am dengan syarat ia diwartakan dengan pengetahuan umum.
"Di Australia, perkara menarik dikenal pasti adalah kes sivil membabitkan kerajaan dikendalikan jabatan berbeza iaitu 'Australian Government Solicitors' (AGS). Namun, agensi kerajaan tidak wajib menggunakan perkhidmatan guaman AGS, kecuali dalam kes tertentu.
"Justeru, aspek seperti ini perlu diteliti secara terperinci. Kajian empirikal juga diperlukan untuk meneliti aspek teknikal dalam usaha pemisahan ini, seperti implikasi kewangan kepada kerajaan dan keperluan sumber manusia," ujarnya.
Menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) pula, beliau berkata, pihaknya terbuka dengan cadangan pelantikan AG dibawa ke jawatankuasa di Parlimen sambil menegaskan ia perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Beliau juga memaklumkan, pelantikan Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai AG dibuat berdasarkan meritnya sebagai peguam kanan, selain muncul sebagai individu paling bijak, bagus dan berpengalaman untuk jawatan berkenaan.