Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berpandangan bahawa beban mengambil tindakan terhadap ketirisan yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 tidak harus diletakkan pada bahu suruhanjaya itu semata-mata.

Menurut satu kenyataan oleh Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, tidak semua bentuk tindakan perlu dibuat oleh SPRM.

”Untuk makluman, ada tindakan yang sepatutnya dibuat oleh ketua jabatan termasuk lembaga tatatertib agensi masing-masing,” katanya.

Jelasnya, banyak pihak yang beranggapan SPRM merupakan badan utama yang harus mengambil tindakan ke atas setiap isu yang dibangkitkan dalam laporan tahunan itu.

“Justeru, selaras dengan peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, SPRM akan mengambil tindakan ke atas kes-kes yang ada unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta pemalsuan,” kata Mustafar.

Ujarnya, kes-kes yang melibatkan ketidakpatuhan sistem dan prosedur dalaman agensi, perlu diambil tindakan oleh agensi masing-masing berdasarkan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Beliau memberitahu, SPRM telah pun meneliti kesemua isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara termasuk yang terbaru, yang dibentangkan di Parlimen pada Selasa lalu.

Katanya SPRM telah mula menjalankan penyiasatan terhadap 15 kes setakat ini yang mempunyai unsur rasuah dan pada masa yang sama meneliti kesemua isu yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara untuk menentukan sama ada kes-kes yang diteliti mempunyai unsur gejala rasuah.

“Justeru, SPRM akan menyiasat sehingga ke akar umbi sebelum mengemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” kata Mustafar.

Bagaimanapun katanya SPRM boleh mengemukakan syor atau cadangan supaya tindakan tatatertib oleh agensi-agensi terbabit diambil mengikut peruntukan masing-masing.

Sementara itu, Mustafar menjelaskan bahawa SPRM tiada kuasa untuk mengambil tindakan menurunkan pangkat, menggantung ataupun memecat penjawat awam yang gagal mematuhi undang-undang, peraturan dan sistem dan prosedur.

Jelas beliau, hanya agensi masing-masing, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan itu.

Pandangan supaya SPRM mengambil tindakan sebegitu telah dibangkitan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Ramon Navaratnam, yang dipetik akhbar The Sun.

Selain itu, suruhanjaya itu juga berharap ketua jabatan dan lembaga tatatertib masing-masing mengambil tindakan tegas berbentuk punitif terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan.

Tambahnya tindakan pencegahan juga perlu diambil agar isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak berulang.

Semalam, SPRM memaklumkan telah menubuhkan satu pasukan khas bersama Jabatan Audit Negara susulan kelemahan dan ketirisan yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Mengenai cadangan itu, Mustafar berkata pasukan khas yang diterajui SPRM akan membentangkan hasil penemuan, pelan tindakan dan cadangan bagi mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang didapati melakukan salah laku rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pemalsuan.