Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kes penipuan perdagangan supaya tindakan dapat diambil.

"Sekiranya ada sebarang kes penipuan perdagangan atau jual beli, laporkan kepada pihak berkuasa yang akan menyiasat dan mengambil tindakan sepatutnya.

"Jangan bertindak sesuka hati," kata Najib dalam catatan di laman Facebook beliau.

Semalam, sekumpulan lelaki dipercayai pelanggan dan jurujual telefon bimbit bergaduh di tingkat bawah pusat beli-belah Kota Raya di sini.

"Saya memandang serius kejadian pergaduhan di Kompleks Kota Raya yang telah mencetuskan kebimbangan masyarakat," kata Najib.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup menyangkal andaian bahawa insiden pergaduhan itu adalah isu perkauman.

Sebaliknya, beliau menegaskan insiden itu tercetus akibat perasaan marah dan tindak balas berhubung isu hak kepenggunaan melibatkan jual beli telefon antara pembeli dan penjual.