SEREMBAN: Separuh jalan di Kampung Batu 3 Mambau dekat sini runtuh dalam kejadian hujan lebat pada malam Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu telah mengakibatkan kira-kira 300 penduduk di situ dan Kampung Sri Mantau berdepan kesukaran untuk berulang alik berikutan jalan terbabit merupakan laluan utama.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 3 Mambau, Adam Hussin, 63, berkata runtuhan di sepanjang kira-kira 20 meter jalan itu terpaksa ditutup bagi laluan kerana berisiko.

"Selepas Maghrib, air mula naik dan kira-kira jam 8 malam sudah separas jalan sebelum sedikit demi sedikit runtuh berlaku sehingga separuh jalan.

"Kami kemudiannya menghubungi pihak bomba dan polis serta wakil rakyat di sini sebelum dimaklumkan agar tidak mengambil tindakan sendiri.

"Pihak berkuasa tiba dan menutup jalan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, jalan berkenaan merupakan laluan utama menghubungkan Kampung Batu 3 Mambau dan Kampung Sri Mantau yang mana terdapat kira-kira 300 penduduk.

Disebabkan kejadian itu katanya, penduduk di kedua-dua kampung terpaksa menggunakan laluan jauh untuk ke mana-mana.

Sementara itu, seorang penduduk, Azizah Omar, 60 berkata, runtuhan pertama berlaku tiga minggu lalu, namun agak mengecewakan apabila tiada tindakan segera diambil.

"Bila dah jadi macam ini, laluan dah putus, kami penduduk juga yang susah. Kenapa tindakan awal tak diambil?

"Ia betul-betul menyusahkan penduduk. Hari ini saya terpaksa menolak kereta sorong sejauh 30 meter untuk membeli ais kerana lori tak boleh masuk ke sini," katanya.

Mohd Shamsul Shamsurihan, 37, pula berkata, kejadian runtuhan di sepanjang sungai tersebut bukanlah baharu berlaku, malah turut terjadi di tempat lain di kampung itu.

Bagaimanapun katanya, kali ini lebih teruk sehingga jalan terpaksa ditutup sekali gus menyukarkan penduduk untuk berulang alik.

"Saya nampak kejadian ini berlaku bila hujan lebat dan air sungai akan laju sehingga menyebabkan hakisan sikit demi sikit.

"Jadi saya harap pihak berwajib segera ambil tindakan ditambah pula keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang," katanya. -Sinar Harian