KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya sehingga 6 petang hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di portal MetMalaysia, cuaca buruk itu bakal melanda seluruh kawasan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka manakala di Kedah melibatkan Padang Terap, Sik dan Baling.

Selain itu, di Perak cuaca itu dijangka melanda daerah Muallim, Pahang (Raub, Bentong, Temerloh dan Bera). Di Johor, daerah Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Dalam pada itu, di Sarawak, cuaca ekstrem dijangka melibatkan Kuching, Samarahan (Samarahan dan Asajaya) dan Sri Aman, Sabah dan di Pantai Barat termasuk Papar, Ranau dan Kota Belud) Tawau, Lahad Datu dan Kudat.

Terdahulu, MetMalaysia meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) bermula awal November dan berakhir pada hujung Mac 2025 yang menjangkakan episod hujan lebat berlaku di negeri Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.