KUALA LUMPUR: Ujian saringan penyakit kardiovaskular perlu dijalankan seawal usia 30-an, mengambil kira kadar kelaziman kes penyakit tiga serangkai (kencing manis, darah tinggi dan kandungan kolesterol tinggi dalam darah) kini, semakin meningkat pada usia muda.

Pakar Perunding Perubatan dan Jantung Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang Dr Shahidi Jamaludin berkata jika penyakit tiga serangkai ini tidak dikesan dan dirawat pada peringkat awal, maka pelbagai komplikasi organ dalaman akan berlaku.

Penyakit kardiovaskular menurutnya boleh bermula dengan pembentukan plak kolesterol di dinding darah (aterosklerosis), penyakit sumbatan arteri koronari, serangan jantung, angin ahmar, penyakit jantung bengkak dan akhirnya menyebabkan kegagalan jantung peringkat akhir (penyakit lemah jantung) dan kematian.

"Di negara kita, menurut Laporan Perangkaan Sebab Kematian di Malaysia tahun 2021 serangan jantung, kekal menjadi penyebab utama kematian di Malaysia, merekodkan 18,556 kematian atau 17.0 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada tahun 2020.

"Apa yang membimbangkan, ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak menyedari mereka menghidap penyakit tiga serangkai sehinggalah komplikasi organ (jantung, otak, buah pinggang, mata dan saraf) yang kekal terjadi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, penyakit lemah jantung yang merupakan komplikasi organ jantung hasil daripada masalah kardiovaskular berkenaan adalah bersifat kekal dan sukar dirawat sekali gus mampu menambah beban kepada kos rawatan yang tinggi di institusi perubatan negara.

"Pengesanan awal penyakit tiga serangkai dapat mendorong kepada rawatan awal dan akhirnya mengelakkan komplikasi organ kekal," katanya.

Antara ujian saringan yang perlu dijalani ialah pemeriksaan Indeks Jisim Badan (BMI), pemeriksaan tekanan darah, ujian darah dan air kencing, ujian Elektrokardiogram (ECG), ujian stres senaman (exercise stress test), ekokardiografi, imbasan topografi berkomputer (CT Scan) salur darah koronari dan koronari angiografi.

"Banyak kajian telah membuktikan, pengesanan dan rawatan awal faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular boleh mencegah dan menghentikan perkembangan penyakit kardiovaskular ini.

"Penyakit kardiovaskular sangat berkait rapat dengan faktor-faktor risiko yang perlu pengesanan dan rawatan awal bagi mengelakkan komplikasi kekal kepada jantung dan organ dalaman yang lain...Bersama- samalah kita menjaga kesihatan jantung untuk masa depan yang lebih terjamin," katanya.

Selain itu Dr Shahidi turut menasihatkan agar masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat yang merupakan kunci utama dalam proses mencegah masalah penyakit kardiovaskular.

"Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, banyakkan makanan yang kaya dengan omega-3 and serat larut (soluble fibre). Lakukan aktiviti fizikal lima kali seminggu dengan 30 minit setiap sesi dan pilih aktiviti fizikal mengikut kemampuan anda. Senaman aerobik adalah pilihan terbaik untuk kesihatan jantung.

"Perkara lain yang boleh dilakukan ialah tangani stres dengan bijak, berhenti merokok dan kekalkan berat badan yang ideal iatu dengan cuba untuk capai target BMI 18.5 - 24.9 kg/m2," katanya.

Selain itu beliau berkata, bagi individu yang sudah mempunyai masalah penyakit kronik tiga serangkai, perlu patuh dengan nasihat doktor, ambil ubat seperti disyorkan dan hadir temu janji yang telah ditetapkan bagi mengelakkan komplikasi dari penyakit-penyakit kronik seperti serangan jantung dan angin ahmar.

"Jangan mudah terpedaya dengan produk-produk kesihatan dan nasihat-nasihat dari pihak yang tidak bertauliah mengenai kesihatan anda terutama yang diuar-uarkan di media sosial.

"Setiap anda mempunyai tahap kesihatan yang berbeza-beza antara satu sama lain. Pastikan anda mendapat pencerahan mengenai masalah kesihatan anda dari para doktor yang bertauliah," katanya.

-- BERNAMA