Penggunaan istilah 'lain-lain kaum' bagi merujuk kaum Bumiputera Sarawak dalam semua dokumen dan borang rasmi kerajaan dimansuhkan, berkuat kuasa serta merta.

Pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang turut mengarahkan agar kesemua borang rasmi kerajaan tidak lagi mengunakan perkataan berkenaan untuk sebarang urusan.

Menurutnya, keputusan berkenaan telah dipersetujui oleh jemaah menteri dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

“Ini adalah sesuatu yang telah diminta oleh rakyat Sarawak melalui Kerajaan Negeri dan menteri-menteri Sarawak yang ada di dalam Kabinet yang memperjuangkan agar jangan guna perkataan ‘lain-lain’,” katanya semasa merasmikan program Sejiwa Senada Kesembilan di Dewan Suarah di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata arahan turut dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri untuk melaksanakan perkara itu.

“Saya telah mengarahkan agar Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak terus dengan segera melaksanakan arahan Kabinet ini supaya rakyat di Sarawak tidak lagi digunakan sebagai ketegori 'lain-lain',” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan yang Kerajaan Persekutuan juga menghormati undang-undang negeri Sarawak berkaitan dengan Akta Imigresen.

“Walaupun kita mempunyai akta berbeza tetapi Jabatan Imigresen Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri akan memberi dokongan kepada setiap dasar yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri termasuk memantau, menyekat dan meletakkan tanggungjawab menghantar pulang pendatang asing ini,” tambah Zahid lagi.