Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, harimau jantan berusia empat tahun itu dianggarkan seberat 45 kilogram (kg).
Menurutnya, harimau itu yang dipercayai datang dari Hutan Simpan Bukit Kinta berhampiran, mula masuk perangkap awal pagi ini.
"Pemeriksaan mendapati ada kesan luka pada muka haiwan itu dipercayai akibat melanggar perangkap, dan doktor veterinar (terus) memberi rawatan di lokasi," katanya ketika dihubungi di sini.
Yusoff berkata, harimau berkenaan akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk rawatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.
"Perangkap berkenaan masih aktif selepas kami mengesyaki ada lagi haiwan pemangsa lain di lokasi tersebut.
"Harimau kumbang tersebut merupakan binatang buas ketiga yang masuk perangkap di lokasi sama dalam tempoh sebulan," ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, seekor harimau kumbang yang dikatakan sering membaham ternakan milik penduduk di Ladang Jalong sejak Jun lalu, berjaya ditangkap minggu lalu.
Harimau jantan seberat 42kg itu telah memasuki perangkap yang dipasang sejak 20 Jun lalu.
Pada 3 Julai lalu, seekor harimau belang seberat 75kg dianggarkan berusia dua tahun memasuki perangkap sama yang menggunakan umpan anak kambing.