Penduduk, Mustaza Jamaludin, 44, berkata, dia bersama pemilik kebun, Khairuddin Abd Rahman, 55, pergi ke lokasi bagi mengeluarkan umpan anak kambing yang diletakkan di perangkap harimau tersebut.
"Sebaik sampai lebih kurang jam 7.30 pagi tadi, kami lihat ada seekor harimau kumbang yang agak besar saiznya berada dalam perangkap tersebut.
"Ikutkan, semalam harimau kumbang ini sudah melalui perangkap ini dan kelibatnya berjaya dirakam melalui kamera yang dipasang oleh Perhilitan sejak petang Ahad, namun harimau itu tak masuk ke dalam," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Ujarnya,pada Isnin lalu kira-kira kam 8.30 pagi, ada melihat kelibat harimau tersebut melompat keluar dari pagar kebun setinggi dua meter ketika datang ke kebun.
Sementara itu, Khairuddin berkata, dia berasa lega apabila binatang buas berkenaan berjaya masuk ke dalam perangkap.
Menurutnya, dia masih berasa kurang selamat untuk ke kebun seorang diri seperti sebelum ini.
"Harap kejadian ini tidak berulang lagi dan kita akan terus berhubung dengan Perhilitan sekiranya berhadapan dengan situasi sama," katanya.
Sinar Harian pada Ahad lalu melaporkan dua ekor anjing ditemui dalam keadaan kepala dan sebahagian badan salah seekor haiwan tersebut hancur disyaki dibaham harimau kumbang.
Kejadian berkenaan dikatakan pertama kali berlaku susulan keadaan pagar yang dipasang agak tinggi menyukarkan haiwan lain memasukinya melainkan melalui saluran longkang. -- Sinar Harian