KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dicadang memberi ruang kepada pencarum yang mempunyai baki akaun mencukupi serta terdesak untuk meminjam wang dari bank dengan jaminan cagaran wang agensi berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah itu memudahkan pencarum yang terdesak untuk mendapat bantuan kewangan.

"Ramai ahli-ahli Yang Berhormat bangkitkan isu ini, saya menerima baik teguran-teguran ini. Tapi kita kena ingat prinsip KWSP adalah untuk simpanan hari tua. Prinsip saya ialah wang KWSP adalah untuk simpanan hari tua dan kita beri kelonggaran zaman COVID-19, malah negara yang memberi kelonggaran sama juga sudah membatalkan kaedah itu.

"Pada prinsipnya saya tidak bersetuju dengan pengeluaran dana simpanan tua ini. Oleh itu saya cadangkan untuk kita perkenalkan satu kaedah bagi memudahkan mereka yang terdesak.

"Maka saya akan pastikan mereka yang mempunyai wang di dalam KWSP dan dalam keadaan terdesak meminjam dari bank dengan jaminan cagaran dari agensi berkenaan," katanya semasa penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, pada Khamis.

BACA: Pengeluaran KWSP: 'Rakyat nak sekarang, bukan 15 tahun lagi' - Ismail Sabri

BACA: 
Simpanan dua juta ahli KWSP kurang RM10,000

Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon agar kerajaan meluluskan pengeluaran bersasar KWSP di Dewan Rakyat.

Jelas Ahli Parlimen Bera itu, bantuan RM500 yang dimasukkan ke dalam akaun KWSP yang diumumkan oleh Anwar dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini adalah satu usaha murni, namun ia bagi kegunaan pada hari pencen nanti.