Beliau menganggap apa yang terjadi ke atas dirinya kira-kira 47 tahun lepas akibat terkena jerangkap samar yang dipasang pengganas komunis dalam Ops Bersih di Gerik itu terlalu sedikit kesannya, berbanding penderitaan sekiranya kebebasan dan nikmat kemerdekaan negara ini diragut dan negara terpaksa kembali kepada zaman penjajahan.
Mengimbau kembali detik malang yang mengakibatkan beliau kehilangan kaki kanan sehingga paras lutut, bapa kepada sembilan anak ini berkata semuanya berlaku dalam sekelip mata ketika mengetuai pasukan untuk membuat rondaan di kawasan yang dipercayai pernah diduduki pihak musuh.
"Ketika rondaan, saya terpijak jerangkap samar sehingga terpelanting ke belakang, pada waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu, saya sangka masa itu nyawa saya sudah sampai ke penghujung akibat pendarahan yang sangat teruk kerana kaki kanan sudah berkecai.
"Namun Tuhan masih sayangkan saya lagi, Tuhan beri peluang untuk saya hidup dan menikmati hari tua bersama anak isteri dan cucu sehingga kini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Taman Panchor Jaya di sini.
Warga emas kelahiran Port Dickson itu berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada sahabatnya yang dikenali sebagai Haji Dollah kerana membantunya menyelamatkan diri selepas terkena bom ketika itu.
Tindakan pantas sahabatnya itu dengan membalut luka di kaki dengan bekalan ubat yang dibawa, sebelum membawanya keluar melarikan diri daripada kawasan musuh telah membantu menyelamatkan nyawanya ketika itu.
"Kami sanggup bermati-matian, berjuang sehingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan negara ini, biarpun sekarang ini saya telah menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) kudung sebelah kaki, tetapi saya bangga dengan apa yang saya buat untuk negara," katanya.
Sulaiman berkata perjuangan bersama rakan-rakan pasukan untuk menentang pengganas komunis adalah kerana tanggungjawab mempertahankan negara, dan generasi muda yang menjadi pewaris masa depan negara perlu insaf dengan pengorbanan ini.
"Bukan senang kita nak dapatkan dan pertahankan kemerdekaan, banyak orang terkorban, jadi jangan sia-siakan pengorbanan mereka," katanya.
Beliau berkata golongan muda hari ini perlu didedahkan dengan pelbagai kisah perjuangan generasi terdahulu yang berjuang mendapatkan kemerdekaan sekali gus membangkitkan semangat cintakan tanah air.
-- BERNAMA