Lelaki kudung kaki, wanita wajah tidak sempurna, warga emas buta mata dan anak-anak hilang tangan antara pemandangan biasa di Kemboja.

Bukan salah mereka dilahirkan cacat, tetapi kebanyakannya bertukar menjadi sedemikian akibat periuk api, senjata zaman perang komunis dan pasca perang tahun 1970-an.

Mengimbau apa yang berlaku kepadanya, Loah Nimul, berkata, kalau masa boleh diundur, beliau berharap langkah diatur lima tahun lalu tidak tersilap, atau dimulakan dengan kaki tangan.

"Kerana silap langkah, kaki saya hilang, duduk di hospital lebih dua bulan, suami juga tinggalkan saya ketika itu,"’ ujar Nimul yang ditemui di Pusat Pemulihan Fizikal Battambang, Kemboja.

Loah Nimul hilang kaki akibat tersilap pijak periuk api di Kemboja.- Foto Astro AWANI / Azlinariah Abdullah
BACA: Legasi perang 6 juta periuk api di Kemboja

Kata Nimul, semasa kejadian, beliau dan kakak serta adiknya mencari kayu di hutan yang agak jauh daripada kawasan rumahnya.

"Apabila letak kaki sebelah kanan di atas tanah, terdengar bunyi kuat, kemudian dunia saya gelap, apa yang berlaku selepas itu, saya cuma ingat berada di hospital.

"Hari-hari berikutnya, saya hanya mengenangkan nasib diri yang miskin, tiada apa-apa, cacat anggota kaki, bagaimana mahu kerja beri nafkah kepada adik-adik," ceritanya lagi.


Lain pula cerita Ngor Chreb, kini 42 tahun, yang terlibat dalam kemalangan selepas lari daripada gugusan bom dijatuhkan dalam usaha mengusir komunis selepas rejim Pol Pot dijatuhkan pada 1979.

"Sedang lari, saya dilanggar pula motosikal yang laju, saya gagahi bangun dan cuba panjat pokok. Namun malangnya, saya terjatuh pula. Akibatnya, saya lumpuh di bahagian belakang. Kaki saya juga hancur terkena serpihan bom.

"Saya tidak salahkan motosikal atau pokok, tetapi kerana takut dengan bom, ini semua terjadi," ujar ibu kepada dua orang anak ini.

Seperti Nimul, Chreb juga penghuni di Pusat Pemulihan Fizikal Battambang.

Kawasan kampung di Battambang ini diwarta penuh dengan periuk api, tetapi penduduk kampung terus menetap bagi tujuan untuk berlindung dan mencari rezeki. - Foto Astro AWANI / Azlinariah Abdullah
Bagi Eng-Savvy, geram beliau kepada periuk api dan senjata pembunuh lain mendorongnya bertugas dalam agensi memadamkan periuk api, Pusat Bertindak Periuk Api Kemboja atau C-MAC.

"Dalam tahun 1970-an, masa paling sukar. Sekolah saya di kawasan Kampung Thom, banyak ditanam periuk api ditanam. Bukan sahaja sekolah, gereja juga dipenuhi periuk api. Selama ini, saya terselamat, tetapi saya menyaksikan rakan sekolah saya maut kerana terpijak periuk api. Salah seorang dalam keluarga saya juga sengsara hingga kini kesan tepijak periuk api.

"Disebabkan itu juga, saya berusaha dan berikrar untuk membasmi habis-habisan senjata pembunuh ini. Walaupun perang sudah tamat, kami masih lagi berperang membersihkan saki-baki periuk api ini," kata Savvy.

C-MAC bekerjasama dengan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dalam usahanya membersihkan periuk api, senjata tidak meletup dan bahan tinggalan perang lain di Kemboja.
Mangsa-mangsa periuk api merenung nasib mengimbau trauma akibat menjadi mangsa periuk api, bom dan senjata pembunuh yang lain di Kemboja. - Foto Astro AWANI / Azlinariah Abdullah
Kepada Pengarah Program Pusat Pemulihan Fizikal ICRC Kemboja, Philip Morgan, individu yang datang bersama kaki hancur, perut terburai dan bermandi darah seluruh anggota badan merupakan antara kes biasa ditanganinya sejak 20 tahun lalu.

"Pesakit tidak terus ke hospital kerana lokasinya agak jauh dan padat. Mereka kebiasaannya datang ke pusat ini terlebih dahulu untuk mencuci luka dan mendapatkan nasihat. Hanya selepas itu mereka membuat susulan di hospital dan kemudiannya membuat susulan lanjut di pusat pemulihan," kata Morgan.

ICRC membangunkan dua pemulihan fizikal mangsa perang di Kemboja iaitu di wilayah Battambang dan Kampung Speu di Phnom Penh.

Petugas C-MAC giat membersihkan periuk api di kawasan yang diwartakan memiliki bahan membunuh itu di Battambang, Kemboja. - Foto Astro AWANI / Azlinariah Abdullah Di pusat ini, bantuan seperti latihan vokasional, rawatan percuma dan bantuan kewangan diberikan kepada mangsa periuk api ketika peperangan.

Ketua Misi ICRC di Kemboja, Roman Paramanov semasa ditemui di pejabatnya di Phnom Penh berkata, ICRC merancang merangka pelan kerja untuk tempoh 10 tahun bersama Kemboja bagi menjalankan aktiviti pemulihan kepada penduduk tempatan kurang upaya (OKU) kerana perang dan periuk api.

"Secara puratanya, 11,500 yang sudah menerima manfaat perkhidmatan kami di kedua-dua pusat pemulihan fizikal. Kami menjangkakan, tahun depan ia bertambah menjadi 200,000 orang," katanya.

Dengan adanya perkhidmatan diberikan ICRC, termasuk memberi bantuan kewangan, mereka yang terjejas kerana perang dan periuk api boleh tampil memulakan perniagaan sekali gus menjana ekonomi keluarga masing-masing.