Bagi pihak Malaysia, beliau mengucapkan takziah kepada rakyat Pakistan yang berkabung atas kehilangan yang disifatkannya tidak masuk akal dan menyedihkan.
Anwar berkata, tindakan kekejaman dan keganasan yang menyasarkan orang awam dan anggota keselamatan adalah peringatan jelas tentang ancaman berterusan yang ditimbulkan oleh puak ekstremisme.
Jelas beliau, kesempitan fahaman ideologi mendorong satu perasaan memberontak sehingga boleh merosakkan kemajuan dan keamanan dalam masyarakat Islam.
Rentetan itu, beliau berkata Malaysia akan sentiasa teguh bersama Kerajaan Pakistan dalam perjuangan mereka menentang keganasan.
Pada Sabtu, berlaku letupan yang menggegarkan stesen kereta api di Quetta, barat daya negara itu, ketika ratusan penumpang sedang menunggu di platform, sekali gus mengorbankan puluhan nyawa serta mencederakan lebih 30 orang yang lain.
Menurut pegawai polis tempatan, Azam Baloch, siasatan awal mendapati ia adalah serangan bunuh diri namun pihaknya sedang mengumpul bukti untuk mengesahkan motif kejadian.