Jerebu yang melanda negara sebelum ini beransur pulih selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara mencatat bacaan sederhana.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), pencerapan sehingga pukul 10 pagi tadi mendapati tiada lagi kawasan mencatat IPU tidak sihat.

Pencerapan JAS juga mendapati 45 kawasan mencatat IPU sederhana dengan Seri Manjong, Perak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 95.

Ini diikuti Jalan Tasek, Ipoh, Perak dengan 82; Balok Baru, Kuantan, 79; Langkawi dan Alor Setar, Kedah, masing -masing 78.

Manakala IPU di USM, Pulau Pinang dan Bukit Rambai, Melaka, mencatat IPU 76, Shah Alam dan Bakar Arang, Sungai Petani masing-masing mencatat IPU 75.

Empat kawasan di Sarawak dan tiga kawasan di Sabah pula mencatatkan bacaan IPU baik.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my/v2/ untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Jerebu teruk melanda negara sejak minggu lalu dipercayai akibat pembakaran hutan di Indonesia sehingga menyebabkan sekolah di beberapa negeri ditutup pada Selasa lepas dan beberapa jadual penerbangan oleh syarikat penerbangan dijadualkan semula.