Kualiti udara di seluruh negara semakin baik dengan 47 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tahap baik setakat 9 pagi berbanding 45 kawasan malam tadi.

Menurut laporan laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), hanya tiga kawasan mencatat IPU sederhana iaitu Bakar Arang, Sungai Petani (53), Pelabuhan Klang (52) dan Seberang Jaya 2, Perai (51) manakala dua lagi kawasan iaitu Port Dickson, Negeri Sembilan dan Seri Manjong, Perak tidak dinyatakan bacaan IPU.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Untuk IPU semasa, orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my.