KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif tidak akan bertoleransi terhadap amalan rasuah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Maimunah berkata, beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika mengesan terdapat dalam kakitangan DBKL terlibat amalan itu.

Beliau telah mengarahkan semua pegawai eksekutif dan ketua jabatan membantu membuat pemantauan terhadap 9,000 kakitangan DBKL.

"Saya seorang tak boleh nak pantau semua kakitangan jadi saya minta pegawai atasan untuk bantu beri pendidikan selain bekerjasama dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sebagai rakan DBKL.

"Pertama sekali kita didik dan berikan pengetahuan disusuli tindakan penguatkuasaan.

"Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan jika terdapat bukti sah amalan rasuah dalam kalangan kakitangan," katanya pada sidang akhbar pada hari pertama memulakan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-15.

Maimunah wanita pertama dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur menggantikan Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).

Wanita berusia 63 tahun itu juga Wanita Asia pertama memegang jawatan Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat).

Maimunah berkata, beliau berhasrat menjadikan DBKL sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) berintegriti tinggi.

Katanya, integriti, akauntabiliti dan ketelusan penting supaya tugas dapat dilaksanakan dengan efisien dan efektif.

"Ini berbalik kesedaran individu dan perlu ada jati diri. Kali pertama diberikan suapan jangan ambil kerana sekali kamu ambil akan ada yang kedua ketiga dan seterusnya.

"Ini amaran keras daripada saya. DBKL akan bekerjasama dengan SPRM bersama pegawai dalam mengambil tindakan jika dibuktikan sah terdapat amalan itu," katanya. -- Sinar Harian