Kira-kira 3,000 penduduk dari lima kampung sekitar Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang mendakwa kualiti hidup mereka terancam berikutan kewujudan kuari yang beroperasi sejak puluhan tahun lalu.

Lima kampung terbabit ialah Sungai Sembilang, Kampung Bukit Kecil, Kampung Sekolah, Bagan Nyior dan Kuala Juru.

Selain berdepan pencemaran udara, mereka juga tidak sanggup lagi dikejutkan dengan bunyi gegaran kuat akibat kerja meletupkan batu kuari.

Penduduk Sungai Sembilang, Mohammed Anuar Ab Hamid, 66, memberitahu keadaan fizikal sekitar kampung jauh berbeza berbanding 30 tahun lalu manakala penduduk tidak lagi hidup dalam keadaan aman dan selesa susulan kegiatan kuari tersebut.

Masalah dijangka lebih buruk kerana kawasan kegiatan kuari dipajak sehingga 2042 selain ancaman keselamatan berikutan lebih 100 lori keluar masuk hampir setiap hari.

"Di sini seminggu sekali kami mengalami gegaran seperti gempa dan saya setiap kali kakitangan kuari datang untuk buat letupan, mereka akan bawa meter (alat) untuk mengukur gegaran dan bunyi di belakang rumah saya. Kalau saya ada di rumah, saya akan pantau, adakah gegaran itu melebihi 5 milimeter per saat," ujarnya.

Mohammed Anuar berkata demikian pada sidang media 'Selamatkan Bukit Juru' pada Sabtu.



Bagi seorang lagi warga tempatan, Mohd Ariff Bashir, 46, pula berkata ekosistem kawasan sekitar Bukit Juru terjejas teruk akibat letupan batu kuari menyebabkan hidupan liar lari dan memasuki kampung.

"Memang dia mencemarkan alam sekitar dari segi habuk dan dari aspek binatang-binatang yang boleh cari makan di atas bukit (kini) sudah tak boleh cari makan. Kera-kera semua turun ke kampung, selain babi hutan dan ular," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung ketika mengulas perkara tersebut berkata, masalah berlaku apabila kerajaan negeri terdahulu mengeluarkan 31.6 ekar dari kawasan hutan simpan untuk operasi kuari secara pajakan pada 1980 sedangkan agensi teknikal tidak bersetuju dengan permohonan itu.

Sejak itu kehidupan penduduk terjejas termasuk ada rumah yang rosak susulan letupan kuat.

"Saya bersama penduduk berasa bahawa aktiviti ini harus dihentikan. Justeru, saya bersama penduduk setempat dan Bukit Tengah merayu kepada kerajaan negeri untuk tidak meluluskan permohonan pihak pemaju kuari untuk memperbaharui lesen kuari mereka yang akan tamat pada hujung tahun ini," kata Hsiao Leung.

Hsiao Leung dan penduduk berharap Bukit Juru dipertahankan sebagai warisan kerana ia satu-satunya bukit dalam kawasan Bukit Tengah selain menjadi tumpuan untuk kegiatan riadah.