Ringkasan AI
- Pengelasan pendapatan B40, M40, dan T20 tidak mencerminkan realiti ekonomi isi rumah di Malaysia. Hanya T30 menunjukkan corak perbelanjaan kelas pertengahan.
- Kumpulan M50 (antara B20 dan T30) masih rentan secara ekonomi, menghadapi masalah menyeimbangkan keperluan asas dan perbelanjaan aspirasi.
- KRI menggesa pengelasan pendapatan ditakrifkan semula untuk dasar yang lebih bersasar, memastikan sumber disalurkan kepada kumpulan yang paling memerlukan.
Kajian itu mendapati, sebaliknya, hanya kumpulan berpendapatan 30 peratus tertinggi (T30) yang menunjukkan corak perbelanjaan kelas pertengahan.
Kumpulan pendapatan 50 peratus pertengahan (M50) --- kumpulan di antara B20 dan T30 -- masih rentan secara ekonomi, dan menghadapi masalah penyeimbangan antara memenuhi keperluan asas dan membeli produk yang lebih beraspirasi, jelas kajian itu.
"Penemuan ini menimbulkan persoalan penting mengenai ketepatan klasifikasi isi rumah B40, M40, dan T20 semasa yang digunakan oleh kerajaan Malaysia," menurut KRI dalam kenyataan pada Selasa mengenai kertas kerja terkininya bertajuk "Searching for the 'Poor' and 'Middle Class' in Malaysia" yang diterbitkan pada 30 Dis, 2024.
KRI menjelaskan selama hampir 15 tahun, daripada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hingga Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Malaysia telah menggunakan klasifikasi itu sebagai asas dasar ekonomi.
"Kebanyakan dasar menyamakan B40 dengan isi rumah miskin dan M40 dengan kelas pertengahan atau isi rumah 'bercita-cita tinggi/kelas aspirasi'.
"Kertas kerja ini mendapati klasifikasi tersebut mungkin tidak lagi mencerminkan realiti kerana kumpulan isi rumah dalam kategori ini tidak memiliki corak perbelanjaan yang seragam," tambahnya.
Menurut KRI, corak perbelanjaan golongan antara B20 dan T30, yang boleh disebut sebagai M50, kelihatan agak seiras, dengan isi rumah dalam kumpulan ini masih menghadapi kompromi antara memenuhi keperluan asas dan membeli produk yang lebih beraspirasi.
"Walaupun sesetengah isi rumah mampu menikmati sedikit perbelanjaan tambahan, seperti makan di luar atau menghantar anak ke kelas tambahan, mereka masih mengalami kompromi dalam kesejahteraan dan taraf hidup.
"Golongan M50 ini bukanlah kelas pertengahan sebenar dan masih terdedah kepada risiko ekonomi," jelas KRI.
Menurut KRI oleh itu, lebih tepat untuk menyatakan hanya 30 peratus teratas daripada jumlah isi rumah tergolong dalam kelas pertengahan atau kelas aspirasi.
Dalam ringkasan kertas kerja itu, KRI juga menekankan kumpulan M50 kekal terdedah, dengan kapasiti terhad untuk membeli produk yang lebih beraspirasi.
Corak perbelanjaan mereka mencerminkan kerentanan yang berterusan dan akses terhad kepada barangan dan perkhidmatan aspirasi, jelasnya.
KRI menggesa supaya pengelasan kumpulan pendapatan ditakrifkan semula untuk dasar yang bersasar, dengan pembuat dasar beralih daripada menggunakan kategori yang sudah lapuk kepada langkah mengguna pakai rangka kerja perbelanjaan bersepadu.
Institut penyelidikan itu yakin pendekatan tersebut akan memastikan sumber cisalurkan kepada kumpulan yang paling memerlukan.
"Intervensi seperti subsidi bersasar untuk pendidikan dan penjagaan kesihatan, serta dengan inisiatif penciptaan pekerjaan, adalah penting untuk meningkatkan kestabilan ekonomi kumpulan M50, membolehkan mereka beralih kepada perbelanjaan beraspirasi dan memupuk mobiliti meningkat," tambah KRI.
KRI menggesa kerajaan supaya mengutamakan kumpulan B20 dengan dasar-dasar yang memastikan akses kepada perumahan mampu milik, makanan, penjagaan kesihatan, dan keperluan asas lain, yang penting untuk melindungi kesejahteraan mereka.
-- BERNAMA