KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan, walaupun selepas pengambilalihan dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dimuktamadkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika tawaran itu dipersetujui pemegang sahamnya, MAHB masih tertakluk kepada terma dan syarat  terkandung dalam Perjanjian Pengoperasian sedia ada yang ditandatangani mereka bersama pihak kerajaan

Jelasnya, perkara itu akan memastikan tiada sebarang perubahan kepada tanggungjawab dan bidang tugas MAHB sedia ada.

Dari aspek kepentingan kepada negara, beliau memaklumkan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melihat wujud keperluan mendesak untuk operasi MAHB ditambah baik dan pelaburan dibuat lebih pantas.

Ini mengambil kira unjuran peningkatan trafik penumpang dan keadaan infrastruktur semasa yang tidak dapat menampung jumlah masa kini serta keperluan masa depan negara.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai kesediaan kerajaan mendedahkan kepada Parlimen salinan perjanjian pemegang saham MAHB antara tiga pihak yang berhasrat untuk menswastakannya.

"Jika tawaran itu dipersetujui pemegang saham MAHB yang lain, pemilikan MAHB oleh Konsortium berkenaan adalah berdasarkan pecahan iaitu Khazanah sebanyak 40 peratus pegangan, KWSP 30 peratus dan Abu Dhabi Investment Authority serta Global Infrastructure Partners sebanyak 30 peratus.

"Memandangkan ini adalah perjanjian membabitkan empat pihak swasta, ia tertakluk kepada prinsip kerahsiaan komersial seperti kelaziman dalam sebarang transaksi yang bersifat sedemikian, bagaimanapun kerajaan sudah meneliti dan berpuas hati dengan segala perincian dikemukakan," ujarnya.