Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal, berkata matlamat dan mandat utama jawatankuasa itu untuk melihat kekurangan dan kelemahan, malah kekuatan dasar sedia ada, seterusnya memberikan saranan serta pandangan mereka.
Beliau memberitahu, dasar-dasar yang dilihat sudah tidak relevan akan dihentikan, sementera dasar-dasar yang dilihat lemah akan ditambah baik dan diperkemas.
"Keahlian jawatankuasa ini akan melibatkan tokoh-tokoh dalam pendidikan tinggi dan tokoh-tokoh terkemuka industri yang boleh menyumbang idea dan buah fikiran yang bernas secara holistik bagi meningkatkan kualiti dan prestasi penyampaian pendidikan tinggi.
"Jawatankuasa ini akan diperuntukkan masa tiga bulan untuk mengemukakan dapatan dan saranan penambahbaikan yang bakal menjadi asas pembangunan pelan induk pendidikan tinggi negara
kita.
"Pada masa yang sama, dasar-dasar baharu yang dilihat relevan dan perlu berdasarkan cabaran dan perkembangan semasa, akan dicadangkan.
"Semua ini bertujuan memastikan, pada peringkat dasar dan polisi kita mempunyai hala tuju dan pendirian yang jelas, kemas dan terbaik," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian kepada soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang meminta KPT menyatakan langkah akan dilaksanakan untuk merealisasikan reformasi pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menjawab soalan tambahan Chow Yu Hui (PH-Raub) sama ada Kementerian Pendidikan Tinggiakan mengembalikan kuasa autonomi kepada mahasiswa terutama membolehkan mereka mengadakan sendiri pilihan raya kampus, berbanding dikelola oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP), Mohammad Yusof berkata, pihak kementerian akan melakukan satu lagi pindaan berkaitan Seksyen 15 Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi membolehkan mahasiswa dapat berpolitik dengan bebas.
Beliau berkata, ia adalah sebagai tambahan kepada tujuh pindaan yang dilakukan sebelum inni di bawah Seksyen 15 AUKU.
Katanya, selain pindaan kepada soal kewangan, antara perkara lain yang ditambah adalah mengenai pelajar berpolitik secara bebas.