PASIR MAS: Seramai 1,083 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) termasuk Kelantan, Terengganu dan Johor terkesan akibat banjir pada penghujung Nov lepas.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata kesemua pelajar itu berada dalam keadaan selamat dan pihaknya telah mengambil langkah proaktif dalam membantu mereka.

"Kesemua mereka akan terima sumbangan kebajikan dan kita minta pelajar-pelajar yang terkesan ini supaya berhubung terus dengan pihak universiti agar nasib mereka terus dibela," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Meranti di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Sazili bersama 120 sukarelawan daripada skuad Ihsan Madani Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)-UiTM mengadakan gotong-royong membersihkan sekolah berkenaan yang ditenggelami banjir pada 27 Nov lepas.

Sementara itu, Pengarah Program Misi Pasca Banjir Skuad Ihsan Madani KPT-UiTM Muhammad Zulhusny Khairul berkata pengalaman menjadi sukarelawan buat pertama kali di kawasan terjejas banjir telah banyak memberi kesedaran dan keinsafan terhadap dirinya kerana tidak dapat membayangkan situasi getir yang dihadapi mangsa sewaktu banjir berlaku.

"Sebelum ini, saya hanya melihat di televisyen sahaja mengenai kesusahan dan kesukaran yang dihadapi oleh mangsa banjir, tetapi apabila saya turun padang melihat sendiri situasi yang dihadapi mereka, saya berasa sungguh terkejut.

"Tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka (mangsa banjir) ini dapat bertahan sewaktu banjir, malah selepas banjir pula mereka perlu kemas rumah dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA