SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah melaksanakan penelitian semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan dan mekanisma pemantauan berhubung aktiviti kokurikulum badan beruniform di universiti itu.


Ringkasan AI
  • Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah memperkukuh prosedur latihan dan pemantauan aktiviti kokurikulum badan beruniform serta memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan kematian seorang pelatih Palapes yang didakwa meninggal dunia selepas menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual pada 13 November.
  • UiTM memandang serius kejadian tersebut dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis dan Lembaga Siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM). UiTM juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan komited memastikan keselamatan pelajar.
  • ATM sedang menyiasat dakwaan kematian yang dikaitkan dengan kejadian buli semasa latihan dan menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan jika terbukti bersalah. ATM menggesa masyarakat untuk tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.


UiTM dalam kenyataan memaklumkan selain langkah proaktif itu, kerjasama penuh juga akan diberikan terhadap siasatan kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM, yang didakwa meninggal dunia selepas menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual pada 13 Nov.

Menurut kenyataan itu, pengurusan UiTM memandang serius kejadian tersebut dan menyerahkan kepada pihak polis dan Lembaga Siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), untuk melakukan siasatan lanjut.

"Pihak pengurusan universiti berasa amat sedih di atas kejadian ini dan memberi jaminan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan terhadap kes ini.

"UiTM komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pelajarnya sentiasa diutamakan," menurut kenyataan itu.

UiTM dalam kenyataan sama turut mengucapkan takziah dan menyampaikan rasa simpati terhadap keluarga mangsa.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan seorang bapa berhubung kematian anaknya, yang dikaitkan dengan kejadian buli sewaktu menjalani sesi latihan seliaan jurulatih tentera di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

"ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat di dalam kes tersebut.

"Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah," menurut kenyataan ATM.

Pada masa yang sama, ATM turut menggesa masyarakat memberi ruang kepada pihaknya untuk menyiasat perkara itu secara tuntas dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

"Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata laporan penuh daripada sebuah universiti awam berhubung kes itu akan diperoleh terlebih dahulu, sebelum tindakan susulan diambil berhubung kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi memaklumkan satu kenyataan media berhubung kejadian itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA