PASIR PUTEH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melantik 60 pemborong utama dan 140 peruncit terpilih di seluruh Kelantan sebagai persediaan mendepani Monsun Timur Laut tahun ini.

Pengarahnya Azman Ismail berkata langkah itu adalah antara pelan kontigensi banjir KPDN Kelantan yang melibatkan tiga fasa iaitu persediaan sebelum, semasa dan selepas bencana tersebut bagi memastikan bekalan makanan asas mencukupi, mudah diperoleh serta dijual pada harga yang ditetapkan.

"Bagi tujuan itu, KPDN melalui Seksyen Penguat Kuasa telah melantik point of interest yang terdiri daripada 60 pemborong utama atau pemborong terpilih daerah (DDW) dan peruncit terpilih daerah (DSR) bagi 140 peruncit di setiap daerah.

"Pemborong dan peruncit yang dilantik merupakan pemegang mini stok hendaklah memastikan bekalan sentiasa mencukupi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tinjauan Mesra Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di sini semalam.

Beliau berkata DSR dan DDW terbabit boleh menambah bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan sedia ada yang dibenarkan dalam tempoh bencana dan pengguna tidak perlu resah dengan membuat pembelian dalam jumlah yang banyak kerana keperluan asas seperti makanan sentiasa mencukupi.

"KPDN akan mengambil tindakan yang relevan bagi memastikan bekalan barangan kawalan dan keperluan asas sentiasa berada dalam pasaran selain mengawal harga barang sepanjang musim banjir," katanya.

-- BERNAMA