GOMBAK : Ketua Pengarah Laut Kapten Mohamad Halim Ahmed yang didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menipu menggunakan surat Kementerian Pengangkutan Malaysia, telah diarahkan untuk bercuti.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Mohamad Halim diarahkan untuk mengosongkan pejabatnya sementara perbicaraan berlangsung.

Jelasnya, arahan tersebut adalah prosedur yang lazim dalam perkhidmatan awam.

“Ketua Pengarah Jabatan Laut telah mengambil cuti, tetapi doktrin bahawa beliau tidak bersalah sehingga didapati bersalah terpakai. Tetapi sebagai prosedur dalam perkhidmatan awam, beliau telah diminta bercuti dan mengosongkan pejabat beliau.

“Sementara kes beliau berjalan di mahkamah, beliau tidak akan melaporkan diri untuk bertugas,” katanya lagi. 

Media sebelum ini melaporkan Mohamad Halim, 57, didakwa di Mahkamah Sesyen pada Khamis lepas atas pertuduhan cuba memperdaya Ketua Pengarah Jabatan Laut pada 2020, Datuk Baharin Abdul Hamid dengan surat MOT.

Mohamad Halim ketika itu adalah Setiausaha Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan

Mengikut pendakwaan, surat tersebut menyatakan "YB Menteri Pengangkutan pada 22 Oktober 2020 memutuskan supaya tempoh bagi syarikat-syarikat perkapalan yang diberikan pengecualian untuk membawa 'heavy grade oil' dalam perairan Malaysia perlu dikekalkan mengikut tarikh yang diluluskan'.

Baharin kemudian mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan yang berkenaan yang mana beliau tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan.

Mohamad Halim didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.