Tegas Yeoh, sebagai menteri, beliau tidak boleh menyalahgunakan kuasanya.
Ahli Parlimen Segambut itu menambah, konsert Jay Chou yang dijadual berlangsung 15 Januari ini juga merupakan konsert ‘world tour’, dengan sebanyak 45,000 tiket sudah terjual.
"Kuasa menteri tu tak boleh disalah gunakan.
"(Stadium) Axiata Arena hanya boleh muat 13,000. Nak keluarkan kenyataan politik, kena rajin semak fakta dulu," katanya dalam kemas kini di laman Twitter pada Jumaat malam.
Pada Khamis, Yeoh menjelaskan 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa dikosongkan berikutan kerja-kerja pemasangan struktur pentas konsert berskala antarabangsa yang berlangsung pada 15 Januari.
Hannah berkata pemasangan struktur pentas di lokasi konsert berkenaan ditempah awal oleh pihak penganjur sejak Mac 2019 dan mustahil untuk mengubah situasi berkenaan memandangkan itu turut melibatkan jumlah kru yang ramai.
Kekosongan 21,000 tempat duduk itu mendapat kritikan daripada peminat bola sepak tanah air termasuk Wan Ahmad Fayhsal.
Beliau berkata Stadium Nasional Bukit Jalil perlu digunakan sepenuhnya untuk perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF pada Sabtu ini.
Ini kerana, jelas Wan Fayhsal berkata pada separuh akhir Piala AFF 2018, seramai 87,545 penyokong hadir menyaksikan perlawanan berkenaan berbanding kali ini apabila 21,000 tempat duduk terpaksa dikorbankan.
Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan kesemua 59,000 tiket untuk aksi separuh akhir pertama Piala AFF Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil habis terjual.