Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini melahirkan rasa bangga dengan pembinaan Kompleks Islam Putrajaya (KIP) yang indah dan megah, sebagai lambang ketinggian Islam di Malaysia.

Katanya, kompleks yang menjadi pusat pentadbiran bagi urusan hal ehwal Islam itu perlu menjadi ikon bukan sahaja kepada agensi tempatan, tetapi juga pada peringkat antarabangsa.

Menurutnya, KIP yang berkeluasan lebih 1 juta kaki persegi itu perlu menjadi unggul dan sempurna dalam semua aspek kerana persepsi masyarakat yang meletakkan harapan tinggi terhadap Islam.

"Sewajarnya, dengan tanggapan dan persepsi ini diraikan, KIP mesti menjadi ikon kepada agensi-agensi lain di negara ini.

"Dalam perspektif yang lebih luas, tadbir urus di KIP harus menjadi menjadi model bukan sahaja dalam kalangan agensi tempatan semata-mata tetapi juga sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.



Najib berkata demikian ketika merasmikan kompleks tersebut, yang pada Mei lalu memenangi Anugerah Pembangunan Pejabat Terbaik di Malaysia dalam 'Anugerah Hartanah Asia Pasifik 2017' di Bangkok.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Garis Panduan Umum Tadbir Urus Berteraskan Syariah (GTU-s) yang bersifat umum dan digunakan sebagai rujukan dan panduan kepada agensi berkaitan tanpa mengenepikan undang-undang sedia ada.

Perdana Menteri turut melancarkan Pusat Kewangan Islam Setempat (IFiC), yang merupakan inisiatif Lembaga Tabung Haji (TH) bertempat di KIP, yang bakal memberikan kemudahan perkhidmatan seperti pengurusan kewangan dan pembiayaan Islam, tukaran wang, perlindungan insuran, perkhidmatan pelancongan dan pakej haji dan umrah kepada penduduk setempat.

Sementara itu, dalam ucapannya, Najib sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara gagal sama ada dalam aspek pembangunan Islam atau kemudahan infrastruktur untuk rakyat.

Katanya, pembangunan Islam tidak dicerap melalui ceramah semata-mata, sebaliknya diterjemah dalam segenap aspek kehidupan seperti penyediaan infrastruktur pentadbiran Islam yang secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada mesej dakwah kepada masyarakat.

Dengan menjadikan KIP sebagai contoh, perdana menteri berkata perasmian kompleks itu yang menyatukan 11 agensi agama di bawah satu bumbung membuktikan kerajaan sentiasa berusaha meletakkan Islam di tempat tertinggi dengan penyediaan infrastruktur terbaik untuk merealisasikan pembangunan negara berteraskan Islam yang syumul.

"Dalam masa dua hari ini, ada sebab untuk kita merasa bangga. Semalam saya lancarkan fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan hari ini merasmikan KIP, ikon baharu dalam penyediaan tadbir urus yang terbaik untuk kegemilangan pentadbiran Islam.

"Apakah ini gambaran negara gagal. Apakah ini gambaran pentadbiran yang muflis. Adakah ini membawa kepada Malaysia yang hancur yang perlu diselamatkan?," soalnya.