Mesej-mesej keamanan dan kesederhanaan sering kali diketengahkan secara substantif oleh pelbagai pihak, termasuk pihak berautoriti. Sekiranya diamati, Kementerian Pertahanan (MINDEF) merupakan antara pihak yang secara konsisten membawa mesej ini ke hadapan. Ini tidak menghairankan kerana sektor pertahanan negara adalah barisan hadapan dalam menangani ancaman ekstremisme. Langkah awal untuk membanteras ekstremisme adalah dengan mencegah penyebaran ideologi radikal - sesuai pepatah, “mencegah itu lebih baik daripada merawat.”
Dalam melaksanakan tanggungjawab patriotik, penulis menyambut baik saranan Menteri Pertahanan untuk turut serta menyebarluaskan mesej murni ini melalui penulisan, dengan harapan agar jangkauannya dapat diperluas dan menembusi hingga ke akar umbi masyarakat. Inisiatif ini tidak hanya memperkaya wacana nasional, tetapi juga berfungsi sebagai mekanisme penting dalam memperkukuh semangat kesederhanaan serta perpaduan dalam kalangan rakyat.
Secara historikal, Malaysia mempunyai latar politik dan sosial yang kompleks, dengan sensitiviti kaum dan agama kerap menjadi titik tumpuan yang berpotensi dimanipulasikan oleh pihak berkepentingan untuk mencetuskan ketegangan. Dalam konteks ini, ekstremisme bukan hanya terbatas kepada keganasan fizikal, tetapi turut merangkumi radikalisasi ideologi. Fahaman sempit mengenai agama atau bangsa dapat disebarkan secara meluas melalui media sosial, ceramah tertutup, atau gerakan bawah tanah, yang menjadikan masyarakat mudah terdedah kepada ideologi ekstrem yang memecah belah perpaduan dan kestabilan negara.
Sensitiviti terhadap isu agama dan kaum sentiasa berada dalam perhatian, menjadikannya titik tumpuan yang mudah mencetuskan ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum. Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi contoh jelas tentang betapa rapuhnya kestabilan sosial apabila isu-isu berkaitan kaum dan agama tidak ditangani dengan baik.
Dalam konteks militan dan terorisme, ideologi ekstrem sering tersebar melampaui sempadan dan berkembang secara global. Sebagai contoh, kemunculan Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) yang mencapai kemuncaknya pada tahun 2014 menunjukkan betapa berbahayanya ideologi ekstrem yang mampu menggugat kestabilan wilayah serta memberi impak besar kepada keselamatan awam dan sosial.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 30,000 individu dari lebih 85 negara telah menyertai ISIS antara tahun 2011 hingga 2015. Walaupun aktiviti ISIS lebih tertumpu di Asia Barat, pengaruhnya turut menyusup hingga ke Malaysia, di mana beberapa rakyat Malaysia didapati terlibat dengan kumpulan militan ini.
Ancaman ini bagaimanapun tidak terhad kepada ISIS semata-mata. Ekstremisme juga muncul dalam bentuk lain, seperti ekstremisme sayap kanan yang semakin meningkat di Eropah dan Amerika Syarikat. Pada tahun 2020, Jawatankuasa Anti Keganasan Majlis Keselamatan PBB melaporkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak 320 peratus dalam aktiviti keganasan sayap kanan di seluruh dunia dalam tempoh lima tahun sebelum 2020. Ini menunjukkan bahawa rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia, juga tidak terlepas daripada risiko ideologi ekstrem dalam pelbagai bentuk yang mungkin menggugat kestabilan wilayah.
Suatu ketika dahulu, rantau ini dikenali dengan ancaman militan Jemaah Islamiyah (JI) yang menggemparkan dunia melalui serangan bom Bali 2002 yang mengorbankan 202 nyawa. Walaupun tragedi ini sudah agak lama berlalu, negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, dan Filipina terus menghadapi ancaman daripada kumpulan militan tempatan, yang sebahagiannya disokong oleh jaringan global.
Biarpun kadar ekstremisme di Malaysia tidak setinggi di negara-negara seperti Syria atau Iraq, hakikat bahawa penangkapan individu yang terlibat dalam aktiviti keganasan masih berlaku menunjukkan bahawa ancaman ini berterusan dan memerlukan langkah pencegahan yang proaktif dan berkesan. Walaupun ancaman ini tidak selalu bersifat langsung, radikalisasi secara halus melalui pelbagai platform masih merupakan risiko yang signifikan bagi keselamatan negara.
Oleh itu, ancaman ekstremisme tidak boleh hanya difahami sebagai masalah keselamatan fizikal, tetapi juga satu pertempuran ideologi yang lebih mendalam. Dari krisis perkauman hingga kepada kegiatan militan, fenomena ini jelas menunjukkan bagaimana ideologi radikal boleh membawa kepada tindakan ganas yang menggugat kestabilan negara.
Berdasarkan Global Peace Index 2024, Malaysia kini diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 negara paling aman di dunia, melonjak 9 tangga dari tahun sebelumnya, dan berada di kedudukan ketiga paling aman di rantau Asia-Pasifik. Ini bukan sekadar satu pencapaian statistik, tetapi juga mencerminkan reputasi Malaysia sebagai negara yang berjaya mengekalkan keamanan dan kestabilan dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama.
Sebar Mesej Kesederhanaan
Namun, untuk memastikan pencapaian ini tidak terjejas, negara perlu mengelakkan sebarang bentuk ideologi ekstrem yang boleh memecahbelahkan masyarakat. Kestabilan yang dikecapi hari ini dibina atas asas kesederhanaan, dengan nilai-nilai toleransi, perpaduan, dan sosialisasi yang menjadi tonggak utama dalam memperkukuhkan hubungan antara kaum dan agama.
Justeru, demi mengekalkan keamanan yang dinikmati ini, semua anggota masyarakat mesti terus memperkukuhkan ideologi kesederhanaan sebagai satu cara hidup. Ini bukan sahaja merupakan keperluan moral tetapi juga satu seruan patriotik dan strategi nasional bagi memastikan negara kekal aman dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Konsep wasatiyyah, yang menekankan nilai-nilai ihsan, kesejahteraan insan, dan harmoni, sangat relevan dalam menangani ancaman ekstremisme di Malaysia disebabkan ekosistemnya sebagai negara majmuk yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan agama.
Sesungguhnya menyebarkan ideologi kesederhanaan adalah satu tanggungjawab penting bagi setiap warganegara. Menolak ekstremisme bukan sahaja soal kemaslahatan moral, tetapi juga melibatkan soal keselamatan negara. Setiap rakyat Malaysia harus memahami bahawa menyebarkan nilai kesederhanaan merupakan satu bentuk patriotisme yang mampu memastikan negara terus maju dalam suasana yang aman dan harmoni.
*Artikel ini ditulis oleh Shah Mohd Akmal Abdul Halim, yang sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan pensyarah sambilan di Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.