IPOH: Inisiatif membawa penonton termasuk golongan belia menyaksikan filem genre patriotik mampu menanamkan bibit semangat cintakan negara, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Muhammad Kami mengambil contoh filem "Takluk: Lahad Datu" yang menceritakan detik tegang semasa operasi ketenteraan susulan krisis pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013, yang sedikit sebanyak menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penonton.

"Filem ini bukan sahaja mengangkat kisah benar yang menyentuh hati tetapi juga memperingati keberanian wira negara yang mempertahankan tanah air," katanya ketika hadir pada tayangan filem berkenaan dianjurkan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Tambun dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun di sini pada Sabtu.

Filem tersebut menampilkan barisan pelakon seperti Syafiq Kyle, Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani, Eman Manan, Riezman Khuzaimi, Josiah Hogan, Ayez Shaukat dan ramai lagi.

Mula ditayangkan pada 22 Ogos lepas, filem tersebut dijangka memberikan impak mendalam kepada penonton dengan kisah keberanian dan semangat perjuangan ditonjolkan wira negara.

Sementara itu, hampir 400 penonton memenuhi pawagam di sebuah pusat beli-belah di sini bagi menyaksikan filem berkenaan yang ditayangkan secara pecuma sempena program tersebut.

Seorang penonton, Muhammad Jasni Abd Rahman, 30, berkata, dia bersama isteri teruja menonton Takluk: Lahad Datu kerana sebelum ini tidak berpeluang menontonnya di pawagam.

"Kami seronok dapat tengok filem berkenaan kerana isteri saya memang ada ajak tengok filem itu dan kebetulan hari ini dapat saksikan secara percuma.

"Tujuan datang ke program ini pun untuk luangkan masa bersama keluarga," katanya.

Nur Rafidah Ismail, 28, pula berkata, dia berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang kepada orang ramai menonton filem yang banyak memberi mesej berguna.

"Saya memang minat dengan filem berkisahkan ketenteraan dan kepolisan kerana ia memberi impak mendalam kepada penonton dengan keberanian dan semangat juang ditonjolkan oleh wira negara.

"Program tayangan percuma seperti ini wajar diadakan sekali gus menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan yang baru kita raikan 31 Ogos lepas," katanya. - BERNAMA