Dalam pada itu, terdapat pelbagai institut pengajian swasta di Malaysia yang menawarkan sarjana muda undang-undang luaran (external law degree), menghasilkan ratusan graduan setiap tahun.
Polisi pendidikan undang-undang tidak menghalang kolej-kolej swasta tempatan melaksanakan program undang-undang luaran.
Bagi tujuan artikel ini, program undang-undang luaran merujuk kepada:
(a) The University of London External Program;
(b) United Kingdom (UK) Degree Transfer Programs;
(c) UK Twinning Programs;
(d) Law Degrees run by UK Branch Campus in Malaysia.
Tidak seperti graduan undang-undang daripada universiti-universiti awam tempatan, graduan yang terhasil daripada program undang-undang luaran ini perlu menduduki peperiksaan Sijil Amalan Guaman atau Certificate of Legal Practice (CLP) bagi melayakkan diri mereka diiktiraf sebagai orang-orang berkelayakan bagi tujuan diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara.
Wajarkah Malaysia mengubah tatacara sedia ada dengan hanya mengambil kira program undang-undang dalaman yang dilaksanakan oleh universiti-universiti yang diiktiraf bagi mempertingkat kualiti pendidikan undang-undang di Malaysia?
Lagi pula, program undang-undang luaran ini tidak memberikan fokus kepada pembelajaran berkaitan undang-undang Malaysia kerana dijalankan secara bersama dengan universiti-universiti di United Kingdom.
Patutkah program undang-undang luaran dirombak atau dihapuskan sama sekali?
KRITIKAN TERHADAP PENDIDIKAN UNDANG-UNDANG
Seorang peguam di Malaysia dalam artikelnya berjudul ‘On the Bench and the Bar’ yang diterbitkan di dalam akhbar The Star pada tahun 2020 telah meremehkan keupayaan graduan temaptan, kecuali mereka yang bergraduat dari tiga universiti iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Multimedia.
Dapatan ini adalah berdasarkan pemerhatian penulis itu sendiri tanpa didokong data dan fakta yang munasabah.
Penulis membuat kesimpulan sedemikian kerana mungkin hanya berurusan dengan graduan-graduan daripada tiga universiti yang disebutkan itu.
Penulis artikel itu, yang juga merupakan seorang peguam kanan, mengagungkan Singapura dan United Kingdom sebagai contoh yang patut diikuti, seolah-olah menganggap pendidikan undang-undang di Malaysia tidak berkualiti.
Dalam satu artikel lain berjudul “Legal Education Reform Long Overdue” diterbitkan dalam akhbar The SunDaily pada September 2021, penulisnya berkeras mengatakan bahawa ‘Common Bar Exam’ (CBE) adalah cara terbaik bagi menyelamatkan pengajian undang-undang di Malaysia yang dikatakan ‘tenat’.
Penulis juga secara tersirat mempersoalkan kualiti graduan undang-undang dari universiti awam, dengan perbandingan dengan Singapura yang dikatakan jauh lebih baik.
MENURUTI PENANDA ARAS SINGAPURA
Walaupun terdapat beberapa pengamal undang-undang yang telah mengkritik kualiti graduan tempatan, pengataan ini tidak pernah dibuktikan dengan data dan hanyalah sekadar pengamatan peribadi mereka semata-mata.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, jumlah graduan undang-undang tempatan yang gagal mendapatkan pekerjaan setelah bergraduat adalah sangat rendah.
Kebanyakan daripada graduan ini telah menjadi peguam yang berjaya, ahli akademik yang prolifik serta menyertai tenaga kerja profesional yang telah menyumbang dalam pembangunan negara.
Penulis artikel-artikel yang telah disebutkan di atas menyatakan dengan jelas bahawa sistem pendidikan Malaysia perlu ditambah baik menuruti penanda aras Singapura.
Singapura hanya memiliki tiga fakulti undang-undang iaitu the National University of Singapore, Singapore Management University dan Singapore University of Social Science.
Calon perlu sama ada belajar undang-undang sebagai pelajar dalaman sepenuhnya di tiga universiti awam Singapura yang telah disebutkan ini atau di universiti-universiti yang diiktiraf di United Kingdom, New Zealand, Australia atau Amerika Syarikat.
Peraturan 10 Profesion Undang-undang Singapura (Orang-orang Berkelayakan) menyatakan dengan jelas bahawa ‘sarjana muda dari program undang-undang luaran’ tidak diiktiraf di republik berkenaan.
Fakta ini didokong oleh definisi ‘orang-orang berkelayakan’ di dalam laman web Institut Pengajian Undang-undang Singapura (Singapore Institute of Legal Education).
Malah tidak wujud peperiksaan CLP di sana bagi melayakkan graduan dari program undang-undang luaran menjadi orang-orang berkelayakan.
Kaedah ini tidak hanya mengekalkan kualiti graduan undang-undang akan tetapi pada masa yang sama membekalkan Singapura dengan sumber daya manusia yang sesuai dengan pasaran.
Walaupun Malaysia tidak mewajibkan CBE untuk graduan undang-undang seperti Singapura, pelatih dalam kamar masih perlu mengikuti kursus dan peperiksaan Etika Guaman dengan kadar kelulusan yang rendah.
Ini dapat menjamin hanya yang terbaik diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara.
KESIMPULAN
Sistem pendidikan perundangan Malaysia telah berkembang dengan acuannya tersendiri sejak penubuhan fakulti undang-undang yang pertama di Universiti Malaya pada 21 April 1972.
Ini diikuti oleh fakulti undang-undang yang lain di Universiti Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan Malaysia dan yang terakhir untuk mendapat pengiktirafan penuh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LKPU), Universiti Sains Islam Malaysia.
Perkembangan fakulti undang-undang di Malaysia telah secara perlahan, menjauh dari model Inggeris, yang pernah menjadi sistem pendidikan de facto untuk peguam-peguam Malaysia.
Disebalik perkembangan positif pendidikan perundangan negara, sehingga hari ini, terdapat sesetengah pengamal undang-undang Malaysia yang masih melihat Singapura sebagai penanda aras.
Mungkin Malaysia boleh mempelajari sistem amalan Singapura.
Mengambil pertimbangan ini, tiba masanya bagi Malaysia bukan sahaja mengambil pendekatan Singapura dengan tidak mengiktiraf program undang-undang luaran, malah turut mempertimbangkan bagi menghapuskan peperiksaan CLP.
Program undang-undang luaran ini pada kebiasaannya tidak memberi fokus kepada sistem undang-undang Malaysia kerana memberikan tumpuan lebih kepada undang-undang Inggeris.
Bagi melahirkan peguam yang berkualiti, pembelajaran kursus undang-undang sepatutnya berteraskan bukan sahaja undang-undang Malaysia malah termasuk juga undang-undang Syariah yang merupakan sebahagian dari sistem perundangan negara.
Graduan undang-undang mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan yang luas dengan undang-undang Malaysia, bukannya undang-undang Inggeris semata-mata.
Tiba masanya untuk program undang-undang di Malaysia disetarakan bagi menambah baik mutu dan penyampaiannya.
Malaysia telah merdeka lebih dari 60 tahun. Undang-undang Inggeris bukan lagi lex loci untuk tanahair tercinta ini.
* Professor Dr. Faridah Jalil, Professor Dr. Ida Madieha, Dr. Syahirah Abdul Shukor dan Dr. Mohd Hazmi adalah pensyarah undang-undang di universiti awam tempatan.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.