TEHRAN: Platform media sosial asing mesti menerima undang-undang sedia ada di Iran bagi membolehkan mereka beroperasi dalam negara tanpa sebarang sekatan, kata seorang ahli Majlis Tertinggi Alam Siber Iran.

Agensi berita Republik Islam (IRNA) melaporkan, Reza Taghipour mengeluarkan kenyataan itu pada Ahad, memetik ucapan terbaru Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Ayatollah Seyyed Ali Khamenei yang berulang kali menekankan kepentingan melindungi keselamatan psikologi rakyat Iran di alam siber.

Taghipour berkata pengguna media sosial di negara Eropah menggunakan platform mengikut Peraturan Perlindungan Data Am.

Beliau menambah bahawa sebahagian daripada undang-undang itu diperuntukkan untuk berita palsu, dan menurut undang-undang berkenaan, platform berkenaan bertanggungjawab untuk menangani isu ini menggunakan perisian dan kecerdasan buatan.

Menurut Taghipour, hari ini, dunia berdepan dengan fenomena baharu yang dipanggil 'peperangan media sosial' dan Iran tidak terkecuali.

-- BERNAMA