BRUSSELS: Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen telah mengumumkan undang-undang untuk mengusir lebih ramai migran tanpa hak untuk tinggal di Kesatuan Eropah (EU), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Dasar imigresen EU hanya boleh mampan jika mereka yang tidak mempunyai hak untuk tinggal di EU dikembalikan dengan berkesan.

"Namun, hanya kira-kira 20 peratus daripada rakyat negara ketiga yang diarahkan untuk meninggalkan EU benar-benar pulang," tulis von der Leyen dalam sepucuk surat yang dihantar ke ibu negara anggota.

Menurut von der Leyen, undang-undang baharu itu akan menentukan kewajipan orang yang pulang dan menyelaraskan proses penghantaran pulang.

Dalam surat itu yang dihantar menjelang sidang kemuncak pemimpin EU di Brussels bermula Khamis, von der Leyen turut menyuarakan kebimbangan mengenai penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik di Asia Barat.

Lebih satu juta orang telah dipindahkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini "dengan potensi jelas untuk pemindahan antarabangsa yang lebih lanjut", tulisnya, sambil menggesa pemimpin EU "untuk mengusahakan perancangan kontingensi".

Presiden suruhanjaya itu juga secara tidak langsung mengkritik kawalan sempadan dalam zon perjalanan bebas visa blok itu, kawasan Schengen, yang kini dilaksanakan oleh Jerman.

"Pelaksanaan semula kawalan sempadan sepatutnya menjadi langkah terakhir," tulisnya.

-- BERNAMA