DALAM Belanjawan 2024, Kementerian Pertahanan telah diperuntukkan RM19.7 bilion berbanding RM17.37 bilion pada tahun 2022 dan RM16 bilion pada tahun 2023. Dari jumlah tersebut, RM400 juta diperuntukkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tujuan menyelenggara dan membaik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT). Dalam pada itu, daripada RM400 juta tersebut, ia telah memberi manfaat secara langsung kepada 28,808 unit rumah di 48 kem seluruh negara. Secara khususnya, Tentera Darat Malaysia (TDM) diberi sebanyak RM199.5 juta, Tentera Udara Malaysia (TUDM) sebanyak RM69.5 juta dan Tentera Laut Diraja Malaysia sebanyak RM69.5 juta.

Kementerian Pertahanan secara menyeluruh telah menyasarkan sebanyak 8,000 unit RKAT bakal dibina menjelang tahun 2025. Pada waktu ini, sebanyak 4,700 unit RKAT telah disiapkan dan sedia untuk dihuni oleh anggota-anggota ATM. Malang sekali, sesetengah masyarakat umum masih berpandangan bahawa pembinaan RKAT adalah sekadar populist gesture atau langkah populis Kementerian Pertahanan dan Kerajaan, menggunakan angkubah ‘kebajikan’ sebagai satu premis bagi mengambil hati dan sokongan anggota ATM.

KEBAJIKAN ATAU KEWAJIPAN?

Sempena bulan Kemerdekaan ini, wajar untuk kita melihat kembali naratif ‘kebajikan’ yang sering digunakan Kementerian mahupun Kerajaan, terutama sekali dalam usaha mereka untuk meningkatkan taraf kesejahteraan warga ATM.

Warga ATM tidak hanya berkewajipan untuk bertugas pada waktu ‘perang’ atau ‘konflik’ semata-mata, namun kesiapsiagaan mereka bagi mendepani pelbagai ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional memerlukan pelaburan jangka masa panjang dari Kerajaan secara berterusan dan berfokus.

Pelaburan jangka masa panjang tersebut termasuklah memberikan rumah dan tempat tinggal yang bermaruah lagi berkemampuan kepada anggota ATM.

Walaupun begitu, pelaburan yang berbentuk ‘welfare’ atau ‘kebajikan’ ini mungkin dilihat tidak menguntungkan atau tidak mendatangkan faedah ekonomi yang meluas kepada negara - mengambil kira kos yang diperlukan dan jumlah penerimanya yang terhad. Namun, dalam perspektif Military Keynesianism, peruntukan pertahanan (defence budget) yang bertambah, akan secara langsung meningkatkan tahap kebajikan anggota tentera. Tahap kebajikan anggota tentera yang membaik pula mempunyai korelasi langsung terhadap penambahbaikan kecekapan dan kompetensi anggota tentera sesebuah negara secara keseluruhannya.

Seperti contoh, mengambil pengalaman Tentera Nasional Indonesia (TNI), wujud kepentingan dan kesegeraan bagi pemerintah Indoensia untuk sentiasa meningkatkan peruntukan pertahanan agar kebajikan anggota TNI sentiasa terjamin dan tahap profesionalisme mereka juga dapat sentiasa ditingkatkan.

Oleh itu, peruntukan ketenteraan yang bertambah hendaklah dilihat sebagai strategi serampang tiga mata - ia berupaya untuk menjadi ‘economic trigger’ atau pemicu ekonomi yang berkesan kepada struktur ekonomi sesebuah negara, menjamin kesiapsiagaan anggota tentera serta pada masa sama meningkat kompetensi anggota tentera itu sendiri.

TIDAK RUGI, TAPI PERLU

Oleh yang demikian, dapat dilihat bahawa penyediaan 8,000 unit RKAT menjelang 2025, dan peruntukan RM300 juta kepada ATM bagi membina RKAT bukanlah satu tindakan yang membazir mahupun merugikan.

Ia juga bukanlah satu bentuk ‘kebajikan’ tetapi wajar juga dilihat sebagai satu bentuk kewajipan dan keperluan yang penting bagi membina kecekapan anggota ATM dalam mendepani cabaran keselamatan dan pertahanan masa hadapan yang kian rancu.

Dalam bulan Kemerdekaan ini, bagi menghargai pengorbanan anggota ATM, wajarlah kita melihat pembinaan RKAT, atau peruntukan pertahanan negara secara keseluruhannya dalam konteks yang lebih meluas dan lebih adil, menjangkaui lensa untung-rugi jangka masa pendek sahaja.

KESIMPULAN

Dengan memberikan perhatian khusus kepada RKAT, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menekankan betapa pentingnya inisiatif ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan anggota ATM. Inisiatif ini bukan sekadar memenuhi keperluan tetapi juga sebagai penghargaan terhadap dedikasi dan pengorbanan mereka.


* Penulis ialah wartawan Astro AWANI

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.